Harimau Malaya tekad balas dendam ke atas Oman di Bukit Jalil

Iklan
Kim Pan Gon. Gambar fail Bernama

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon memberi jaminan bahawa Malaysia akan membalas dendam selepas kalah 0-2 kepada Oman pada perlawanan Kumpulan D pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Muscat, awal pagi Jumaat.

Ini adalah kekalahan pertama skuad negara pada kempen kelayakan kali ini dan akan berentap dengan pasukan ranking ke-80 dunia itu sekali lagi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Iklan
Iklan

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, meskipun tidak mempunyai persediaan yang ideal menjelang pertemuan dengan Oman namun anak buahnya memberikan yang terbaik sebelum akur dengan kekalahan tersebut.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 54 tahun itu tetap positif dalam menyediakan pasukan terbaik dalam tempoh yang ada untuk perlawanan di tempat sendiri.

Iklan

"Kami perlu mengkaji semula corak permainan dengan pantas, cepat pulih dari segi fizikal dan bersedia untuk satu lagi perlawanan di gelanggang sendiri. Kami akan cuba sedaya upaya untuk menampilkan persembahan yang lebih baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Beliau berkata, perlawanan di laman sendiri akan memberi kelebihan kepada pasukan negara dan berharap pemain mampu mengutip sekurang-kurangnya satu mata bagi meneruskan misi layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Iklan

Mengulas perlawanan tadi, Pan Gon berkata, soal pemain kekurangan ‘match fitness’ atau kecergasan perlawanan adalah tidak normal dan enggan menggunakan ia sebagai alasan untuk menutup kelemahan pasukan.

Selain itu, beliau rasa pasukannya perlu mengubah pendekatan untuk mencari sekurang-kurangnya satu mata apabila bermain di tempat lawan.

Kekalahan di Kompleks Sukan Sultan Qaboos itu menyaksikan skuad Harimau Malaya hilang status sebagai pendahulu Kumpulan D apabila jatuh di tangga ketiga meskipun berkongsi enam mata bersama Oman yang merampas kedudukan berdasarkan perbezaan gol dan Kyrgyzstan di tempat kedua manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28