Tiga kes makanan rosak libatkan peniaga bazar Ramadan

Iklan
Tian Soon (tengah) beramah mesra dengan peniaga semasa Program Walkabout dan Lawatan ke Premis di Bazar Ramadan Taman Universiti, Skudai Johor Bahru pada lewat petang Khamis.

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku tiga kes makanan rosak melibatkan peniaga bazar Ramadan di negeri ini sejak beroperasi seminggu lalu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kejadian tersebut melibatkan satu kes di Mersing dan masing-masing satu kes di daerah ini.

Iklan
Iklan

"Aduan ini kita terima daripada pengunjung membuat aduan menerusi imbasan kod QR yang diperkenalkan JKNJ di tapak-tapak bazar Ramadan. Kaedah ini sudah diperkenalkan tahun lalu dan diteruskan pada tahun ini.

"Aduan-aduan sedang disiasat dan akan diambil tindakan sewajarnya jika benar berlaku pelanggaran ke atas mana-mana Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu kompaun atau tutup tidak lebih 14 hari untuk tujuan pembersihan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Walkabout dan Lawatan ke Premis di Bazar Ramadan Taman Universiti, Skudai, di sini lewat petang Khamis.

Turut hadir, Pengarah Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.

Iklan

Tian Soon berkata, bagi minggu pertama puasa, JKNJ mengeluarkan 49 notis kompaun (32B) kepada peniaga bazar Ramadan atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 termasuk melibatkan aspek kebersihan.

"Berdasarkan operasi pada minggu pertama, 1,399 premis makanan di Bazar telah diperiksa dan 1,393 atau (99.6 peratus) daripadanya mempunyai tahap kebersihan yang baik melebihi 80 peratus. Tiada premis yang diarahkan tutup," katanya.

Tian Soon menurunkan tanda tangan sebagai simbolik merasmikan Program Walkabout dan Lawatan ke Premis di Bazar Ramadan Taman Universiti, Skudai Johor Bahru pada lewat petang Khamis.

Menurutnya, seramai 1,316 pengendali makanan diperiksa dan semua mereka telah diberi pendidikan kesihatan sebelum dan semasa bulan Ramadan secara berterusan.

JKNJ ujarnya, turut melakukan pemeriksaan makanan dan 15 sampel makanan berisiko tinggi di bazar Ramadan turut diambil untuk dianalisa di makmal Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengetahui tahap pencemaran mikrobiologi.

Selain itu katanya, 14 notis kompaun 32(B) turut dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 14 premis pengilang ais atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh tersebut dan empat arahan kerja bagi pembetulan turut dikeluarkan.

Sementara itu, beliau memberitahu, program tersebut merupakan simbolik bermulanya Ops Bazar Ramadan serentak di seluruh negeri dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Tujuannya untuk memastikan makanan yang disediakan dan dijual kepada pengguna adalah selamat dan memenuhi keperluan Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28