KUALA KANGSAR - Dua lelaki cedera tersepit setelah lori muatan ais kiub yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer (KM) 251.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di sini awal pagi Jumaat.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu pada jam 2.11 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dibantu Meru Raya dikejarkan ke lokasi.
"Terdapat dua mangsa dalam lori tersebut, seorang cedera di kaki dan seorang lagi cedera ringan.
"Anggota bomba melakukan kerja menyelamat menggunakan peralatan khas dan mangsa berjaya dikeluarkan.
"Seorang mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia manakala seorang lagi dibawa ke hospital di Ipoh menggunakan EMRS Kuala Kangsar," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Seramai 18 orang anggota bomba terbabit dalam operasi menyelamat tersebut yang berakhir pada 3.29 pagi. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!