KUANTAN - [DIKEMASKINI] Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang mengesahkan lima murid dari empat sekolah di negeri ini dijangkiti influenza sehingga petang ini.
Pengarahnya, Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata, laporan itu diperolehinya daripada Jabatan Kesihatan negeri Pahang (JKNP) membabitkan murid daripada empat buah sekolah.
Bagi jangkitan influenza A, dua murid direkodkan dari daerah Kuantan, manakala Cameron Highlands dan Raub masing-masing satu kes. Menurutnya, seorang lagi murid dari Cameron Highlands dijangkiti influenza B.
"Saya dimaklumkan empat murid yang dijangkiti influenza A ini sedang menjalani rawatan di hospital di kawasan masing-masing.
"Seorang lagi murid yang dijangkiti influenza B dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan dan perlu dikuarantin di rumahnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, setakat ini angka tersebut masih belum membimbangkan dan tidak melibatkan penutupan sekolah.
Menurutnya, bagaimanapun pihaknya meminta semua guru di setiap sekolah supaya lebih peka dengan situasi yang berlaku buat masa ini.
"Segera dapatkan rawatan sekiranya ada tanda-tanda jangkitan virus itu dalam kalangan murid ataupun pelajar di sekolah.
"Pihak kita akan mendapat nasihat daripada jabatan kesihatan berkaitan keadaan semasa penularan influenza ini dari semasa ke semasa.
"Nasihat daripada Jabatan Kesihatan ini penting sebagai panduan untuk pihak kita mengawal dan mengatasi isu ini," katanya.