HARRY Maguire mengharapkan Gareth Southgate kekal sebagai pengurus England selepas Euro 2024 susulan laporan terbaru yang mengaitkan pengendali itu dengan Manchester United.
Kontrak Southgate bersama England akan tamat pada penghujung tahun ini dan dia masih belum bersetuju dengan perjanjian baharu untuk mengekalkannya sebagai pengendali pasukan sehingga Piala Dunia 2026.
Kejohanan Euro di Jerman pada akhir tahun ini berpotensi menandakan berakhirnya pemerintahan Southgate, United telah dicadangkan sebagai destinasi seterusnya untuk pengendali England itu.
Perpindahan ke Old Trafford akan memberikan peluang kepada Maguire terus bekerja bersama Southgate selepas dia terus memberikan kepercayaan kepada pertahanan tengah itu ketika berdepan isu-isu di dalam dan di luar padang.
Namun, Maguire menegaskan dia mahu Southgate kekal bertanggungjawab terhadap skuad England untuk jangka masa panjang.
"Ya, pasti,” kata Maguire semalam apabila ditanya sama ada dia mahu melihat Southgate memanjangkan tempoh perkhidmatannya di England.
"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku selepas Euro, saya tidak tahu sama ada dia tahu apa yang akan berlaku.
"Tetapi saya rasa seperti apa yang dia lakukan sejak mula-mula mengambil alih tugas ini hingga ke tempat kami berada sekarang, kami telah mencipta persembahan yang baik dan dia adalah sebahagian daripada langkah itu,” katanya.
Southgate sedang dalam rangka persiapan untuk membawa England ke kejohanan keempat bawah kendaliannya.
England mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018, tewas di final Euro 2020 kepada Itali menerusi penentuan sepakan penalti dan ditewaskan Perancis pada suku akhir Piala Dunia pada 2022.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!