JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan seramai 137 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan di tapak pembinaan Jaya Putra, di sini, pada awal pagi Jumaat.
Menurut Pengarah JIM Negeri Johor, Baharuddin Tahir, kesemua yang ditahan melibatkan 17 wanita dan 81 lelaki warga Indonesia, 19 lelaki (Bangladesh), dua wanita dan 14 lelaki (Myanmar), seorang wanita dan seorang lelaki warga Vietnam dan dua lelaki warga Pakistan.
Katanya, kesemua warga asing berusia dalam lingkungan 18 hingga 55 tahun itu kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"Dalam operasi kali ini, seramai 219 warga asing dan seorang warga tempatan telah diperiksa di mana 137 daripadanya ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.
Tambah Baharuddin, tindakan penguatkuasaan itu dibuat susulan maklumat orang awam berhubung kebanjiran penempatan warga asing di kawasan tersebut hingga menimbulkan kegusaran dan ketenteraman penduduk setempat.
Sementara itu, Baharuddin berkata, JIM Negeri Johor akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan di seluruh negeri bagi membanteras kebanjiran PATI di negeri ini.
Katanya, kesemua majikan yang telah mendaftarkan PATI untuk program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 diminta segera hadir ke pejabat bagi menyelesaikan proses verifikasi bagi membolehkan urusan pengeluaran permit kerja sementara disempurnakan.
"Kesemua PATI juga diminta menyertai Program Repatriasi Migran yang telah bermula pada 1 Mac hingga 31 Disember 2024 bagi tujuan membenarkan PATI pulang ke negara asal secara sukarela,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28