MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, semua pihak perlu menunggu sehingga hari perlawanan Malaysia menentang Oman pada Selasa ini, untuk melihat keadaan sebenar padang di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Diminta mengulas mengenai beberapa gambar dan video di media sosial yang mendakwa keadaan padang yang teruk, beliau berkata, ia bukan gambar terkini.
"Itu gambar bukan semalam atau hari ini, jadi kita kena tunggu pada hari perlawanan,” jawabnya secara ringkas selepas sidang media kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) di sini, pada Jumaat.
Sebelum ini, tular di media sosial gambar dan video yang diambil menerusi dron, dengan keadaan padang di venue keramat skuad Harimau Malaya kelihatan teruk dan bukan kali pertama keadaan padang itu menjadi topik panas.
Aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di antara Malaysia dan Oman, dijadualkan pada 10 malam Selasa depan (26 Mac) di Stadium Nasional.
Mengulas mengenai kekalahan 0-2 skuad Harimau Malaya kepada Oman di Muscat pada aksi awal pagi tadi, Hannah berkata, pasukan tuan rumah sememangnya beraksi dengan baik sebagai pasukan di ranking ke-80 dunia.
Bagi merapatkan jurang dengan pasukan terbaik Asia, beliau berharap skuad kendalian Kim Pan Gon yang berada di kedudukan 132 dunia, akan memanfaat dengan baik peruntukan tambahan RM5 juta daripada kerajaan untuk persiapan beraksi menentang pasukan di ranking lebih tinggi.
Sementara itu, Hannah tidak menolak kemungkinan Malaysia akan menghantar jumlah kontinjen yang kecil ke Sukan Olimpik Paris 2024, selepas beberapa nama besar dan skuad hoki gagal melayakkan diri.
"Saya percaya atlet kita sudah melakukan yang terbaik, jika ada yang tak layak, mereka kena menerimanya. Kita akan buat penambahbaikan, sebab itu Road To Gold (RTG) sudah mengenal pasti atlet berpotensi dalam program Fast Track untuk Olimpik Los Angeles 2028.
"Masih ada yang dalam proses kelayakan dan harap yang masih dalam proses itu berjaya,” katanya.
Setakat ini, hanya lima atlet telah layak ke Paris - Bertrand Rhodict Lises (terjun), Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong Guanjie (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya) - dengan sejumlah 20 hingga 29 atlet lagi dijangka layak.
Temasya Olimpik 1960 Rome dan 1988 Seoul mencatatkan penyertaan paling rendah bagi Malaysia, apabila hanya masing-masing sembilan atlet negara beraksi, manakala 62 atlet beraksi di temasya Tokyo 1964. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28