KOTA BHARU - Konsortium E-Mutiara Bhd memperkenalkan sistem Track My Bus yang mampu membantu penumpang mengelakkan kegusaran untuk menunggu bas lebih lama atau terlepas kenderaan awam itu.
Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Bhd, Che Ibrahim Che Ismail berkata, sistem yang dibangunkan itu hasil pengalaman syarikat terbabit yang sebelum ini mengalami kesukaran untuk memaklumkan kepada penumpangnya mengenai kedudukan bas yang akan dinaiki.
Menurut beliau, keadaan lebih cemas terutama pada musim perayaan kerana ribuan pembeli tiket akan menghubungi pusat operasi bas berkenaan.
"Melalui Track My Bus, penumpang hanya perlu mengimbas kod QR pada tiket bas dan boleh mengetahui kedudukan bas yang akan dinaiki.
"Sebelum ini pihak kami juga bimbang memikirkan keadaan penumpang yang perlu menunggu lebih lama jika berlaku kesesakan dan ada yang terlepas waktu ketibaan bas," katanya.
Jelas beliau, talian pusat operasi syarikat itu menjadi lebih sibuk apabila musim perayaan atau cuti umum menyebabkan banyak pertanyaan tidak dapat dijawab.
Bagaimanapun, Che Ibrahim menambah, buat masa ini hanya pelanggan yang membeli tiket di kaunter E-Mutiara dan wakil jualannya sahaja boleh mengimbas kod tersebut.
"Satu kaedah lagi, penumpang juga boleh menaip pautan yang tertera pada tiket untuk mendapat maklumat sama," katanya.
Sistem yang pertama kali diperkenalkan itu juga diharap mampu menyelesaikan masalah penumpang terutama dalam konteks masa menunggu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28