KUALA LUMPUR - Polis telah menyiapkan kertas siasatan berhubung isu penjualan stoking kalimah ALLAH dan menunggu arahan selanjutnya daripada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya hanya menunggu arahan terkini daripada AGC, setelah 143 laporan polis diterima dan sebanyak 174 saksi diambil keterangan.
Beliau berkata, setelah empat kertas siasatan diperhalusi dan disiapkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan kertas siasatan kepada AGC bagi mengajukan pendakwaan.
"Pertuduhan akan diajukan ke atas dua pihak iaitu pemilik kedai serbaneka KK Mart dan pihak syarikat pengedar stoking, Xin Jian Chang Sdn Bhd.
"Sementara itu, satu pertuduhan telah dibuat melibatkan laporan pertama kes ini di Batu Kikir, Negeri Sembilan dan dua kes masing-masing di Sabah serta Tanah Merah, Kelantan telah dijatuhkan hukuman.
"Kes di Sabah telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM15,000 serta penjara enam bulan, manakala kes di Tanah Merah membabitkan seorang lelaki telah dijatuhkan hukuman denda RM12,000 serta penjara enam bulan setelah mengaku salah," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, daripada 174 rakaman saksi yang diambil polis, kebanyakannya membabitkan pihak KK Mart iaitu pekerja, petugas pejabat serta pemandu lori.
Kata beliau, berdasarkan siasatan dijalankan, tempahan stoking mempunyai kalimah ALLAH itu dibuat pada Februari, sementara pengedaran dilakukan pada awal Mac dan ia mula dikesan pada 13 Mac.
Menurut beliau, stoking tersebut telah ditempah bersama dengan stoking jenis lain yang dikesan sebanyak 18,000 pasang oleh pihak pengilang.
Namun begitu katanya, pihak polis hanya mengesan dan merampas 14 pasang stoking yang mempunyai kalimah ALLAH.
Sehubungan itu tegas beliau, sekiranya orang ramai menemukan lagi stoking tertera kalimah ALLAH di mana-mana kedai, pihaknya menyarankan agar membuat laporan polis.
"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan sendiri dan menyebarkan di media sosial.
"Biar pihak polis sahaja melaksanakan segala tugas siasatan mengikut lunas-lunas perundangan," ujarnya.
Tambahnya lagi, orang ramai termasuk golongan agamawan diminta untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan berhubung isu tersebut dengan memberi sebarang kenyataan.
Jelas beliau, meskipun ada yang menyatakan tentang kebebasan bersuara, namun perkara itu ada keterbatasannya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!