KUALA LUMPUR - Pernah dilibas ekor buaya hingga lebih sebulan tidak boleh berjalan menjadi antara pengalaman tidak boleh dilupakan Mohd Rizal Manoor, 39 sejak lebih 10 tahun menceburi bidang penjaga haiwan.
Mohd Rizal berkata, situasi tersebut menyebabkannya dia terpaksa mengambil cuti sakit sepanjang tempoh tersebut.
Menurutnya, kejadian itu berlaku sewaktu dia memulakan kerjaya sebagai penjaga haiwan di Taman Buaya Melaka.
"Sakit dia ALLAH SWT yang tahu. Ekor buaya kulit tebal seperti papan sedangkan bot disepak pun boleh pecah apatah lagi kalau kena dekat kita.
"Nasib kena dikaki kalau kena muka dah senget rahang," kongsinya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Mohd Rizal sebelum ini pernah tular menerusi satu video apabila dia dengan selamba memarahi buaya seberat 1 tan dipanggil Aris yang seolah mahu menyambarnya ketika sedang sibuk menyapu di dalam kandang berkenaan.
Dia sekali lagi menarik perhatian selepas berkongsi video sedang menikmati juadah berbuka puasa roti john di tepi kolam buaya sambil menyuap buaya dipanggil Lipis dengan sebakul ikan di 99 Wonderland Park, Selayang.
Selain pengalaman dilibas reptilia berkenaan, dia juga pernah dikejar buaya betina yang hampir menggigit punggungnya namun bernasib baik apabila sempat menyelamatkan diri dengan memanjat tembok keluar dari kurungan haiwan tersebut.
Malah katanya, dia juga hampir kehilangan ibu jari kanan sewaktu memberi makan kepada haiwan ganas itu.
Bagaimanapun ujarnya, kesemua pengalaman tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus mendekati reptilia berkenaan.
"Apa pun berlaku saya yakin dengan ALLAH SWT kerana niat kita bekerja keranaNYA dan alhamdulillah, memang rezeki saya dekat haiwan.
"Saya dah cuba banyak kerja daripada pemandu peribadi, potong rumput dan tebang pokok hinggalah kerja kontrak, namun yang bertahan hingga kini ialah penjaga haiwan," ujarnya.
Kongsi anak Melaka itu, selain buaya, dia juga mahir bermain ular yang mula dipelajari ketika usianya 15 tahun.
Ujar Mohd Rizal, dia tidak menggunakan ilmu hitam bagi menjinakkan haiwan-haiwan berbahaya itu sebaliknya memahirkan diri dengan mengkaji perlakuan dan tindak balas haiwan berkenaan.
"Buaya kita tak boleh nak bela jadi saya belajar dengan orang lama di Taman Buaya Melaka. Kita belajar yang asas selebihnya kita mahirkan diri dengan mengkaji sifat haiwan, deria dan pemakanannya.
"Mulanya haiwan ini memang ganas contohnya saya ambil masa hampir lima bulan untuk latih dan jinakkan Lipis. Saya guna kaedah berkomunikasi bagi menarik deria dengar haiwan berkenaan supaya kenal orang yang menjaganya.
"Alhamdulillah, sekarang apabila namanya dijerit, Lipis akan datang walaupun tidak lapar atau berada dalam yang jarak jauh," katanya.