KOTA BHARU - Peniaga bazar Ramadan yang gagal mematuhi syarat perniagaan terutama aspek kebersihan akan terus dikenakan tindakan kompaun tanpa nasihat terlebih dahulu.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Mohd Anis Hussein berkata, tindakan itu diambil berikutan kesemua mereka sudah dimaklumkan syarat yang perlu dipatuhi sepanjang berniaga.
Mohd Anis memberitahu, MPKB-BRI tidak lagi berkompromi kerana membabitkan keselamatan dan kesihatan orang ramai terutama ketika bukan puasa.
"Kita tidak lagi memberikan nasihat dan terus mengenakan kompaun maksimum RM1,000 di bawah Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran MPKB-BRI 2020 selain kemungkinan lesen ditarik balik," katanya.
Bagaimanapun tambah beliau, pihaknya belum menerima sebarang aduan berkaitan isu kebersihan di semua bazar Ramadan di daerah ini.
Jelasnya lagi, pemantauan segera akan dilakukan jika menerima maklumat dan pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan negeri bagi tujuan itu.
"Tindakan tegas terpaksa dilakukan dan ia pilihan terakhir supaya semua peniaga kekal patuh kepada syarat yang ditetapkan," katanya.
Sebelum ino tular di media sosial sampah sarap yang dibuang pengunjung selepas berbuka puasa.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengunjung yang berbuka puasa di Lembah Sireh mengamalkan budaya bersih dan sihat.
Katanya lagi, selain mengelakkan membeli juadah berbuka puasa di premis kotor, pengunjung dinasihatkan tidak membuang sampah di kawasan itu.
"Jangan jadikan tepi Sungai Kelantan itu sebagai 'tong sampah' kerana pencemaran akan menjejaskan imej Kelantan," katanya.
Beliau turut memaklumkan kira-kira 700 lesen dikeluarkan kepada peniaga di bazar Ramadan Lembah Sireh.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28