PUTRAJAYA - Proses penukaran status Pelabuhan Bintulu kepada Pelabuhan Negeri Sarawak dijangka selesai tahun ini dan keseluruhan operasi pelabuhan tersebut akan diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri menjelang 2025, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Satu memorandum persefahaman (MoU) berhubung penukaran status itu dimeterai antara Anthony dan Timbalan Premier merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di sini, pada Jumaat.
"Ini merupakan detik yang penting dan bersejarah,” kata Anthony kepada media selepas majlis pemeteraian MoU itu yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Anthony berkata, objektif MoU itu adalah untuk menyelia dan melancarkan proses penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri agar peralihan tersebut dapat dimuktamad tahun ini.
Menurutnya, sebelum pelabuhan itu diserahkan kepada pihak berkuasa pelabuhan di Sarawak, Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 perlu dimansuhkan terlebih dahulu.
"Jadi hari ini kita telah tandatangani MoU untuk memberikan komitmen ini kepada kerajaan Sarawak.
"Selepas ini ada beberapa proses lagi perlu dilaksanakan yang pertamanya kita kena bawa ke Parlimen untuk memansuhkan Akta Pelabuhan Bintulu sebab Pelabuhan Bintulu ini ditubuhkan di bawah satu Akta Parlimen pada tahun 1981," katanya.
Selain itu, Anthony berkata, Pelabuhan Labuan akan dikeluarkan daripada Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 memandangkan akta tersebut juga turut diguna pakai untuk Pelabuhan Labuan.
"Pelabuhan Labuan masih kekal sebagai pelabuhan Persekutuan. Jadi Pelabuhan Labuan akan dikeluarkan daripada Akta Pelabuhan Bintulu yang akan dimansuhkan sebagai pelabuhan Persekutuan," katanya.
Anthony berkata, beberapa perkara teknikal lain juga akan dibincangkan antara Kementerian Pengangkutan dengan Kementerian Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak termasuk dari segi perjanjian peruntukan kepada pengendali dan kakitangan pelabuhan yang akan dikekalkan selepas penukaran status itu.
Selain itu, katanya, perkara lain yang turut dibincangkan termasuk elemen kewangan yang perlu diperincikan antara kerajaan Persekutuan dengan Sarawak.
"Pelabuhan Bintulu diyakini akan terus menjadi pelabuhan utama bukan saja untuk Sarawak tetapi juga untuk Malaysia sebagai pelabuhan gas asli cecair (LNG) terulung dan dapat diperbesarkan lagi untuk menyokong industri minyak dan gas di Bintulu dan juga perindustrian di Sarawak.
"Penukaran status pelabuhan itu mencerminkan komitmen kerajaan MADANI dalam menegakkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan melaksanakan perkara-perkara yang terkandung di dalamnya,” kata Loke.
Semasa pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan berunding untuk merealisasi penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri Sarawak bagi melengkapkan ekosistem ekonomi negeri itu. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28