Raja Permaisuri Agong berkenan sertai World #QuranHour 2024

Iklan
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke World #QuranHour 2024 di Masjid Negara pada 4 April depan.

KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke World #QuranHour 2024 yang bakal berlangsung di Masjid Negara pada Khamis 4 April 2024 atau bersamaan 24 Ramadan 1415H.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, baginda dijangka tiba jam 11.45 pagi sebelum World #QuranHour 2024 dimulakan tepat jam 12 tengah hari.

Iklan
Iklan

"Ini membuktikan bagaimana Raja berperanan menjadi payung agama Islam di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Jelasnya, setakat ini pihaknya menyasarkan 5,000 jemaah hadir pada penganjuran World #QuranHour 2024.

Iklan

"Kita harap orang ramai dapat datang awal ke lokasi perdana dan membawa terjemahan al-Quran masing-masing selain memfokuskan Surah al-Jumu’ah untuk kita melakukan ummah ‘grand reset’.

"Setiap minggu bila kita berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat, kita melakukan perubahan dengan panduan surah al-Jumu’ah itu sendiri,” katanya.

Iklan
Marhaini Yusoff

"Fokus kita adalah melalui formula. Ada empat formula Rasullullah SAW lakukan seperti dicatatkan dalam al-Jumu’ah iaitu bagaimana kita membaca dan memahami al-Quran untuk kehidupan kita.

"Keduanya mengenai tazkiyah iaitu bagaimana kita membersihkan hati kita jiwa kita dan ketiga adalah taklim bil kitab, al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan dan taklim bil hikmah daripada bacaan untuk panduan kehidupan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan Masjid Negara sebagai lokasi perdana, Marhaini berkata, kedudukan masjid berkenaan yang terletak di tengah ibu kota memudahkan akses orang ramai untuk hadir.

"Kemudahan pengangkutan juga mudah dan penganjuran World #QuranHour 2024 membuka kehadiran kepada bukan Islam termasuk pelancong asing bersama-sama memahami kandungan al-Quran,” katanya.

Sebelum ini, lokasi perdana World #QuranHour berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (UIAM) Gombak.

Orang ramai boleh layari Facebook Quran Hour untuk mendapatkan maklumat dan pendaftaran lanjut berkenaan World #QuranHour 2024.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28