Hindari muflis Ramadan

Iklan
RENUNGI kembali kelakuan dan tingkah laku kita sepanjang Ramadan agar pahala puasa yang dikerjakan tidak hilang sedikit demi sedikit. Gambar Pexels.com

Berlapar dahaga seharian, namun pahala puasa terhakis sedikit demi sedikit

SEPULUH hari telah pun berlalu bagi bulan Ramadan tahun 1445 Hijrah dan ALLAH SWT menjanjikan ganjaran khusus serta pahala yang sangat besar bagi mereka yang berpuasa pada bulan ini.

Setiap Muslim sudah pasti telah berusaha sedaya upaya melaksanakan ibadah puasa dengan sehabis baik bermula lafaz niat berpuasa sebelum waktu Subuh sehinggalah berkumandangnya azan Maghrib.

Iklan
Iklan

Namun begitu, adakah puasa kita benar-benar mendapat markah penuh di sisi ALLAH SWT?

Bagaimanakah kita ingin menghindarkan diri daripada terjerumus ke dalam golongan orang berpuasa yang muflis, rugi dan papa kedana?

Iklan

Tips mengatasi muflis Ramadan

1) Mendirikan solat fardu

Iklan

Solat fardu merupakan pasak dan tiang bagi Islam berdasarkan hadis Rasulullah SAW.

Pada hari ini ramai yang sihat, gagah fizikalnya dan berjaya berpuasa sehari suntuk, namun lemah jiwanya dan gagal mendirikan solat fardu kerana kepenatan berpuasa.

Menurut ulama seperti Syeikh Atiyyah Saqar, Syeikh Muhammad al-Arifi dan Syeikh Ahmad Sharbashi, puasa seseorang yang tidak solat adalah sah hukumnya tetapi tidak mendapat pahala kerana telah menafikan Rukun Islam yang sangat penting iaitu solat.

DR NORHASNIRA

Alangkah ruginya perbuatan tersebut kerana ia diibaratkan seperti kita sentiasa mengisi air ke dalam sebuah bekas dengan harapan ia akan penuh, namun tanpa disedari air mengalir keluar melalui rekahan bekas tersebut.

Hasilnya, pahala saham puasanya berkurangan kerana solat fardu yang ditinggalkan.

Bagi mereka yang sedang berusaha mendisiplinkan diri mendirikan solat fardu, masih belum terlambat dan boleh dimulakan pada hari ini juga.

Ia boleh dilakukan secara berperingkat iaitu bermula dengan mencukupkan lima waktu, membetulkan bacaan dan pergerakan dalam solat, solat pada awal waktu dan seterusnya berusaha menambah solat-solat sunat seperti tarawih, tahajud dan witir.

2) Menjaga pertuturan

Ketika berpuasa, lisan perlu dijaga daripada melafazkan perkataan yang buruk dan tidak bermanfaat.

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa tidak meninggalkan perkataan keji dan mengamalkannya, maka ALLAH tidak berhajat ke atas perbuatannya yang meninggalkan makan dan minum.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Para ulama mendefinisikan ‘perkataan keji’ dalam hadis ini adalah bercakap bohong, berdusta dan bercakap yang sia-sia.

Ucapan dusta, bohong dan keji itu menjadikan pahala puasa seseorang itu semakin menipis, di samping bertambahnya dosa di sisi ALLAH SWT.

Maka, muflislah mereka yang bertungkus lumus berpuasa kerana akhirnya hanya beroleh lapar dan dahaga tanpa diiringi pahala.

Bagi menghindari muflis Ramadan kerana lisan, maka lidah kita mesti digunakan untuk membaca al-Quran, beristighfar, berzikir, berselawat dan menuturkan kata-kata yang baik.

JAGALAH tindak-tanduk dan perbuatan agar tidak terjebak dalam pergaduhan yang menyebabkan kita rugi sekali gus muflis Ramadan. Gambar Pexels.com

3) Menjaga tindak-tanduk, perbuatan

Rasulullah SAW bersabda: "Puasa merupakan perisai. Apabila salah seorang daripada kalian sedang berpuasa, maka janganlah dia bertutur dengan perkataan yang kotor dan menjerit-jerit. Sekiranya orang mencaci atau memeranginya, maka hendaklah dia berkata: 'Sesungguhnya aku sedang berpuasa'.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam kitab Fathul Bari, hadis ini merupakan larangan melakukan pergaduhan dan menjerit dengan meninggikan suara, lebih-lebih lagi ketika seseorang itu sedang berpuasa.

Pergaduhan di sini merangkumi perbalahan sesama ahli keluarga, rakan, jiran dan seumpamanya.

Mutakhir ini berita kes pembunuhan yang berlaku pada bulan Ramadan sudah tidak asing lagi bagi masyarakat kita.

Ia tercetus kerana kegagalan dalam mengawal marah yang seterusnya membawa kepada sesi pertikaman lidah dengan mengeluarkan kata-kata yang tidak elok, bahkan boleh membawa kepada pertumpahan darah.

JAGALAH tindak-tanduk dan perbuatan agar tidak terjebak dalam pergaduhan yang menyebabkan kita rugi sekali gus muflis Ramadan. Gambar Pexels.com

Kini, pergaduhan juga berlaku dengan sangat meruncing dalam platform media sosial.

Penulisan yang berbaur fitnah, hasutan, dan makian semakin berleluasa serta sukar dikawal, yang seterusnya membawa kepada impak sangat buruk kepada individu yang terlibat.

Bagaimana kita mengelakkan diri daripada muflis Ramadan jika terlibat dalam perkara tersebut?

Rasulullah SAW menasihati kita agar bertenang dan mengelakkan sebarang provokasi dalam usaha memelihara pahala puasa dengan menjawab:"Sesungguhnya saya sedang berpuasa”.

Tidak perlu membalas sebarang cercaan dan makian yang dilemparkan kepada kita, sebaliknya kita mengambil langkah dengan mengundurkan diri daripada situasi tersebut.

Sebagai kesimpulannya, adalah penting untuk kita berusaha menjaga diri kita daripada melakukan sebarang perbuatan yang boleh menambah nilai dosa dan pada masa yang sama memufliskan saham pahala puasa agar kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang rugi.

DR NORHASNIRA IBRAHIM

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia