LAHAD DATU - Seorang pelajar lelaki ditemui maut dipercayai akibat dipukul dalam kejadian di sebuah kolej di daerah ini pada Jumaat.
Mangsa berusia 17 tahun yang juga penghuni asrama kolej terbabit ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 6.50 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, laporan polis dibuat oleh pengarah kolej terbabit membabitkan pelajarnya yang maut.
Menurutnya, bertindak atas laporan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dikejar ke lokasi kejadian.
"Pemeriksaan lanjut terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian badan mangsa. Pihak polis telah mengenal pasti punca kejadian adalah disebabkan perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni asrama yang lain," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Rohan berkata, mayat mangsa kemudian telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.
"Pihak kita juga telah menahan 13 pelajar lelaki berusia 16 hingga 19 tahun dan seramai tujuh saksi bebas telah dikesan bagi membantu siasatan.
"Selain itu, satu rampasan dibuat membabitkan alat pengecas telefon bimbit yang dipercayai berkait dengan siasatan kes ini," katanya.
Bagaimanapun, Rohan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dalam kes ini dan pihak polis masih menjalankan siasatan secara terperinci daripada pelbagai sudut secara telus.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!