KAMPAR - Sambutan Ramadan buat pasang suami isteri di Kampung Changkat Belulang dekat Malim Nawar dekat sini terasa suram apabila mereka kehilangan satu-satunya anak perempuan mereka yang maut dalam nahas kemalangan jalan raya dua minggu lalu.
Ketika kejadian, Nurrul Anisah Dek Kamil, 26, dipercayai terbabas sendirian ketika menunggang motosikal untuk mengambil ibunya, Noor Asmah Mior Hamjah, 57, yang bekerja di kebun sayur berhampiran.
Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan di kepala ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada 11 Mac lalu.
Noor Asmah berkata, pemergian anak tunggal mereka memberi tamparan hebat apabila anaknya itu sempat membuat persiapan hari raya dengan membeli pakaian raya sedondon berwarna hijau untuk digayakan sempena Aidilfitri nanti.
"Selain itu, dia sempat beli baju raya kami semua sedondon warna hijau dan dipadankan dengan tudung putih. Malah, langsir rumah pun dibeli warna putih menggunakan duit bonus sempena Tahun Baru Cina lalu.
"Saya tanya kenapa beli awal? Dia cuma balas 'senang mak, mana tahu tahun depan tak sempat'. Sekarang apabila saya lihat baju dia dibeli, hati saya rasa sayu sangat," katanya ketika menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Azlan Helmi Helmi di sini pada Jumaat.
Tambah Noor Asmah, dia dan suami, Dek Kamil Musa, 60, masih lagi terasa kehilangan arwah, namun mereka tetap reda dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.
"Sampai sekarang makcik tidak boleh lihat motosikal milik arwah lagi, masih terbayang keadaan dia yang parah ketika kemalangan.
"Sepanjang dia menerima rawatan, doktor turut memaklumkan kami untuk terima sebarang kemungkinan berikutan keadaannya yang patah tulang leher dan tulang rusuk," katanya.
Sementara itu, Pengurus PERKESO Teluk Intan, S Mageswari berkata, Nurrul Anisah yang bekerja sebagai operator kilang di Tapah ialah orang berinsurans yang dicarumkan oleh majikan.
"Ibu bapa beliau layak menerima faedah pengurusan jenazah RM2,000 yang sudah diserahkan dan pencen penakat bernilai RM434.50 sebulan sepanjang hayat yang akan bermula 1 April depan.
"Liputan PERKESO sangat meluas termasuk kepada pekerja sendiri, Sistem Insurans Pekerja (SIP) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah yang memberi manfaat kepada pencarum dan orang tanggungan. Mohon semua pihak dapat mencarum mana-mana skim yang layak di bawah PERKESO," katanya.