HASRAT kelab La Liga, Getafe untuk memanjangkan tempoh pinjaman Mason Green tidak mendapat lampu hijau daripada Manchester United.
Difahamkan, United hanya bersedia melepaskan pemain itu sekiranya mendapat tawaran perpindahan secara kekal.
Malah, pemilik bersama The Red Devils, bilionair Sir Jim Ratcliffe tidak menutup pintu untuk menerima semula Greenwood di Old Trafford pada musim depan.
"Kami perlu mempertimbangkan beberapa cadangan (lanjutan pinjaman) dan setakat ini tiada keputusan dibuat,” ujar Ratcliffe mengenai masa depan Greenwood kepada sebuah tabloid bulan lalu.
Sejak berpindah ke Getafe secara pinjaman pada 1 September lalu, Greenwood telah mempamerkan rentak konsisten apabila menjaringkan lapan gol dalam 24 perlawanan.
Bukan itu sahaja, penggempur berusia 22 tahun itu turut mencipta 23 peluang menjaringkan gol, lima bantuan jaringan, 23 percubaan tepat dan 610 hantaran dalam semua pertandingan musim ini.
Situasi tersebut menyaksikan Getafe terdesak untuk mengadakan perbincangan dengan pengurusan The Red Devils sama ada mahu menebus kontrak Greenwood atau melanjutkan tempoh pinjaman.
Perpindahan Greenwood ke Getafe berlaku selepas pemain itu digantung oleh Liga Perdana Inggeris (EPL) susulan dakwaan serangan seksual terhadap bekas teman wanitanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwa raya mengumumkan dakwaan itu digugurkan selepas saksi utama menarik diri dalam kes itu.
Awal bulan ini, Presiden La Liga, Javier Tebas menasihati Greenwood supaya kekal beraksi di Sepanyol kerana peminat lebih menghargainya berbanding di England.
Kontrak Greenwood bersama United masih berbaki sehingga penghujung musim 2025 dengan menerima gaji sebanyak £75,000 (RM431,000) seminggu ketika ini.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28