SHAH ALAM - Seorang pengawal keselamatan yang menemui satu bagasi berisi wang tunai berjumlah lebih RM500,000 di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya, pada Rabu lalu menerima penghargaan daripada majikannya, A5 Security Service.
Sherpa Dawa, 39, warga Nepal menerima anugerah berkenaan atas kejujurannya memulangkan wang dalam bagasi berkenaan.
Majlis ringkas pemberian anugerah itu dikongsi menerusi Facebook rasmi syarikat tersebut.
"Kami berbangga untuk berkongsi bahawa pegawai keselamatan kami yang berdedikasi, Dawa telah diiktiraf dan diberi penghormatan atas integriti dan kejujurannya yang luar biasa.
"Komitmen yang tidak berbelah bahagi Dawa terhadap tugasnya dan kejujuran yang luar biasa. Baru-baru ini, dia menemui beg berisi wang yang ditinggalkan tanpa pengawasan dan segera melaporkannya, menunjukkan rasa tanggungjawab dan integriti yang sebenar.
"Tindakannya menunjukkan nilai yang kami pegang dan piawaian tinggi terhadap reputasi kami,” jelasnya dalam coretan di Facebook pada Sabtu.
Syarikat itu juga berterima kasih terhadap Dawa di atas dedikasi dan kejujurannya yang cemerlang.
Tindakannya juga diharap menjadi contoh kepada semua dan mengingatkan tentang kepentingan integriti dan melakukan perkara yang betul, walaupun dalam situasi yang mencabar.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada Khamis berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima laporan daripada pihak pengawal keselamatan berkenaan pada jam 8 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan pada beg bagasi warna merah jambu dan putih bersaiz sederhana itu berisi nota wang kertas RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28