GEORGE TOWN - Beberapa penganjur bazar Ramadan di sekitar Kepala Batas di sini melarang pengemis warga asing terutama mereka yang kurang upaya dan membawa anak kecil meminta sumbangan orang ramai.
Peraturan bagi memastikan tiada diskriminasi dilakukan terhadap golongan tertentu selain mahu memastikan keselesaan pengunjung..
Wakil penganjur Bazar Ramadan Bertam Putra yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad berkata, sebelum ini memang ada pengemis warga asing yang akan 'menunggu rezeki' setiap petang di kawasan itu.
Namun jelasnya, kehadiran mereka yang semakin hari semakin bertambah hingga mengundang rasa rimas orang ramai terutama pengemis wanita yang membawa anak kecil untuk meraih simpati.
"Peraturan itu dibuat bukan mahu menafikan rezeki sesiapa namun kita tidak mahu ada yang mengambil kesempatan dengan sikap murah hati orang ramai dalam bulan Ramadan ini.
"Lagi melampau ada antara mereka membawa anak kecil duduk dan baring di tengah panas dalam keadaan bazar yang sesak, kalau ada kita akan minta mereka beredar," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.
Sementara itu, peniaga kuih, Rofishah Zakaria berkata, kumpulan pengemis warga asing akan mula kelihatan di sekitar bazar itu ketika hampir waktu berbuka.
Katanya, mereka yang datang berkumpulan pada hari-hari tertentu bukan sahaja mahu meraih derma dari orang ramai sebaliknya akan mendapat makanan serta minuman percuma daripada peniaga.
"Selalunya mereka datang dengan membawa beg besar dan berpakaian lusuh, jalan di sekitar bazar dengan harapan ada yang akan memberi sumbangan dan makanan," katanya.
Sementara itu, di George Town pula, tinjauan di dua bazar Ramadan iaitu di Bazar Prangin dan Bazar Kampung Melayu Air Itam mendapati tiada kehadiran pengemis.
Tinjauan Sinar Harian sejak hari pertama umat Islam berpuasa sehingga hari ketujuh mendapati tiada kehadiran pengemis yang meminta sedekah daripada orang ramai di kedua-dua bazar berkenaan.
Bagaimanapun, tinjauan di Bazar Bayan Baru mendapati, terdapat seorang peminta sedekah wanita berada di sebuah pintu masuk ke bazar berkenaan.
Wanita berusia lingkungan 50-an itu dilihat duduk di tepi pintu masuk dengan keadaan tangan kirinya memakai anduh.
Dia juga didapati meletakkan kotak yang bertulis mengenai penyakit yang dihadapinya antaranya sakit kaki dan sakit urat.
Keadaan wanita berkenaan didapati berjaya meraih simpati beberapa pengunjung bazar berkenaan yang dilihat memberi sumbangan kepadanya.
Salah seorang peniaga bazar yang hanya ingin dikenali sebagai Man berkata, wanita itu baharu dua hari dilihat berada di situ.
Man berkata, kehadiran wanita berkenaan tidak mengganggu peniaga dan pengunjung kerana berada di luar kawasan bazar.
Pengemis bazar minta RM10 nak beli makanan
Sementara itu, di MELAKA, pengemis warga emas dikesan duduk di hadapan bank dan berjalan dari meja ke meja pelanggan untuk meraih simpati orang ramai.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, warga emas yang memakai baju Melayu itu akan menyapa sesiapa sahaja yang keluar masuk bank berdekatan.
Individu berkenaan didapati menghampiri orang awam dan meminta wang sebanyak RM10 dengan alasan untuk membeli makanan.
Bagaimanapun, dia akan menolak pelawaan orang ramai yang mahu membeli makanan dan minuman kepadanya dan beredar.
Sementara itu tinjauan di beberapa bazar Ramadan termasuk di Peringgit dan Semabok Jaya mendapati tiada pengemis dan ada peniaga memaklumkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa melakukan pemantauan.
Berdasarkan maklumat peniaga pada awal minggu Ramadan terdapat individu yang memakai maskot dan menjual belon kepada pengunjung namun kelibat mereka tidak kelihatan lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!