JOHOR BAHRU - Kerajaan dan pihak bank diminta memainkan peranan lebih proaktif dalam usaha mencegah gejala penipuan dalam talian yang berleluasa ketika ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, berdasarkan kajian Biro Aduan parti berkenaan, didapati berlaku peningkatan yang signifikan terhadap penipuan dalam talian khususnya sejak beberapa minggu lalu.
"Biro Pengaduan mendapati terlalu banyak kes melibatkan penipuan dalam talian ini dan ada kes mangsa membuat transaksi lebih 10 kali sehari.
"Persoalannya, bagaimanakah perkara ini terjadi sedangkan kita memang tahu bahawa ada had bagi melakukan transaksi sehari?
"Sama ada ia disebabkan kelalaian atau kelemahan sistem, ia perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan dengan mengambil langkah lebih proaktif bagi menghalang transaksi sedemikian," katanya.
Ka Siong berkata demikian pada sidang akhbar setelah mempengerusikan Mesyuarat MCA Negeri Johor, di sini, pada Jumaat.
Tambah Ka Siong, pihak Bank Negara juga seharusnya memainkan peranan berterusan bagi memastikan gejala penipuan berkenaan tidak terus mengganggu orang ramai yang telah pun terbeban dengan pelbagai isu.
"Inilah persoalan yang disuarakan orang ramai, mereka mahu kerajaan untuk sama-sama membantu menyelesaikan masalah penipuan ini sekali gus mencari penyelesaiannya.
"Mangsa penipuan juga tidak sepatutnya dipersalahkan dalam hal tersebut kerana ia sememangnya memerlukan campur tangan pihak Bank Negara," katanya.
Sementara itu, Ka Siong berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan pertemuan dengan kerajaan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak.
Katanya, pertemuan berkenaan bakal membincangkan mengenai beberapa isu yang dilihat memberikan kesan kepada orang ramai ketika ini.
"Dalam pertemuan itu nanti, kita nak bincangkan mengenai isu-isu rakyat seperti peningkatan kos sara hidup dan sebagainya.
"Perkara ini satu tradisi yang memang kita laksanakan di Johor terutamanya bagi isu-isu yang melibatkan bidang pendidikan dan ekonomi," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!