KOTA BHARU -"Kami pernah merayu pada ibu untuk tinggal bersamanya tapi (permintaan kami) ditolak. Ibu kata hidup kami lebih baik di sini," demikian luahan dua beradik perempuan yang tinggal di Rumah Anak Yatim Lilbanat Darul Naim, Machang.
Wan Nur Afiqah Najihah Wan Mustapa, 13, yang merupakan anak sulung berkata, dia bersama adik keduanya, Wan Nur Aqilah Fasihah, 12, sudah lima tahun menumpang kasih di rumah anak yatim.
"Kami mempunyai seorang lagi adik lelaki dan dia tinggal bersama ibu.
"Ibu juga telah berkahwin lain dan mempunyai seorang lagi anak," katanya kepada pemberita semasa program MZ Gold Rai Asnaf di sini pada Jumaat.
Wan Nur Afiqah Najihah berkata, dia dan adiknya hanya boleh pulang dan tinggal bersama ibu dua kali setahun.
Ujarnya, jika terlalu rindu hanya doa yang mampu dikirimkan buat ibu.
Katanya lagi, dia dan adiknya memasang impian untuk kembali semula ke pangkuan ibu suatu hari nanti selepas ayah meninggal dunia pada 2014.
"Di sini kami ramai kawan, hidup selesa, boleh bersekolah tapi ibu tiada bersama.
"Apakan daya, kami faham situasi ibu. Kami juga tidak mahu menyusahkannya," katanya.
Bagi Wan Nur Farhan Wan Fazly, 18, pula kematian ibunya pada tahun 2013 lalu menyebabkan dia terpaksa tinggal di rumah anak yatim.
Sejak itu dia hanya menumpang kasih penyelia asrama yang dikenali sebagai mama Habisah.
Tambahnya, hanya dia tinggal berjauhan, manakala adik-beradik lain ada bersama ayah.
"Kali terakhir jumpa ayah tahun lepas, itu pun sekali sehaja. Pada tahun 2022 langsung tidak berjumpa.
"Saya harap tahun ini dapat beraya dengan ayah serta adik-beradik yang lain," ujarnya.
Bagi Nor Fatin Athirah Shafi, 13, yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik hanya mampu menumpang kasih di rumah anak yatim selepas kehilangan bapa pada usia tujuh tahun sebelum ibunya pula menyusul pada usinya lapan tahun.
"Hanya ada adik-beradik untuk melepaskan rindu pada ibu, ayah.
"Kalau rindu, rasa sedih, kawan-kawan di sini akan hiburkan saya. Kami saling memahami dan melengkapi," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!