SUNGAI PETANI - Mayat seorang lelaki tanpa identiti dengan kesan terbakar lebih 90 peratus ditemukan di kawasan kebun kelapa sawit di Bukit Karung, Semeling, di sini pada Jumaat.
Mayat ditemui seorang penjaga kebun buah-buahan pada jam 11 pagi ketika dia sedang menghalau kera yang memasuki kawasan itu.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima makluman tentang penemuan mayat itu.
"Mayat itu ditemui dalam keadaan meniarap dan dipercayai mati mungkin sekitar 24 jam lalu kerana belum berbau.
"Pihak polis yang datang ke lokasi kemudian melakukan pemeriksaan dan membawa mayat berkenaan ke hospital," katanya pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan penemuan mayat terbakar dan siasatan masih dijalankan setakat ini.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) buat sementara waktu sementara menunggu keputusan hasil bedah siasat.
Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu atau menghubungi balai polis berhampiran.
"Orang ramai turut dinasihatkan tidak berkongsi maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kegusaran awam berkaitan kejadian tersebut," katanya.
Difahamkan, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, di sini, untuk bedah siasat.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!