Pindaan Akta 355: Kerajaan selesai libat urus bersama negeri

Iklan
Mohd Na'im

KLANG - Kerajaan telah selesai mengadakan sesi libat urus bersama negeri-negeri berhubung penambahbaikan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang antara lain melibatkan peningkatan hukuman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, libat urus itu penting memandangkan perkara berkaitan agama Islam merupakan hak negeri-negeri berdasarkan perlembagaan.

Iklan
Iklan

"Dalam konteks sekarang mahkamah syariah hanya diberi bidang kuasa di bawah jenayah, boleh mengenakan hukuman yang maksimum iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

"... maknanya undang-undang sedia ada melibatkan kesalahan jenayah syariah seperti menghina agama umpamanya mahkamah tidak boleh mengenakan hukuman lebih dari itu, jadi saya sebagai menteri, kita sedang usahakan untuk menyemak semula akta yang kali terakhir dipinda pada tahun 1984 ini," katanya selepas menghadiri Majlis Iftar Jalinan Kasih Yayasan Kita Anak Malaysia, di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhammad Akmal Saleh, yang mencadangkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO supaya membawa usul meningkatkan hukuman terhadap individu yang menghina agama untuk dibentangkan di Parlimen.

Mohd Na'im berkata, undang-undang syariah yang hanya terpakai untuk pesalah beragama Islam sedang diperkasa menerusi pindaan akta itu dan akan dibentangkan usai proses diperlukan.

"Jika ada urusan berkaitan penghinaan agama Islam oleh orang bukan Islam ia terletak di bawah bidang kuasa polis, pendakwaan dan mahkamah sivil.

Iklan

"(Bagi orang Islam pula) Apa yang disebut oleh Dr Akmal Saleh itu boleh berlaku sekiranya Akta 1965 nanti kita pinda, kemudian barulah negeri-negeri boleh buat pindaan pada enakmen dan akta jenayah syariah masing-masing untuk meningkatkan bidang kuasa hukuman, termasuklah bagi pesalah-pesalah yang menghina agama Islam," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, seramai 14,000 pelajar asnaf dan anak yatim di seluruh negara bakal menerima sumbangan bantuan persekolahan RM252.80 menerusi program Jom Ke Sekolah (JKS) 2024 Yayasan Taqwa-MAIWP berjumlah RM2.1 juta.

Beliau berkata, sumbangan berupa beg sekolah, alat tulis dan wang tunai itu bertujuan memberi semangat, kelegaan dan keceriaan selain mengurangkan beban ibu bapa bagi menghadapi musim persekolahan ini. - Bernama