KUALA LUMPUR - Menyantuni insan yang memerlukan, redONE Mobile dengan kerjasama Sinar Harian meneruskan program tradisi Ramadan dengan meraikan golongan gelandangan berbuka puasa.
Uniknya, program Colours of Ramadan: ‘Rewang Iftar’ itu diadakan secara gotong-royong bagi penyediaan makanan berbuka puasa kepada 200 gelandangan bertempat di Anjung Kembara, Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di Jalan Pahang di sini.
Ketua Pemasaran redONE Mobile, Jemay Naim berkata, seramai lebih 25 sukarelawan redONE Mobile dan Sinar Harian menyiapkan juadah berbuka puasa dengan kerjasama sukarelawan dari Warung Makan Sahabat.
Menurutnya, program Colours of Ramadan: ‘Rewang Iftar’ menyediakan nasi Arab sebagai juadah berbuka dengan bahan-bahan untuk masakan disediakan Warung Makan Sahabat.
"Kita mula memasak jam 3 petang dengan proses penyediaan ramuan termasuklah ayam untuk dijadikan lauk serta sup siap dibungkus kira-kira 6 petang,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Tambah Jemay lagi, Colours of Ramadan: ‘Rewang Iftar’ itu merupakan antara inisiatif redONE Mobile memastikan golongan seperti ini diberi perhatian.
"Dalam keadaan kita sempurna untuk berbuka puasa dan membuat persiapan lebaran, jangan kita lupa bahawa ada yang memerlukan untuk kita bantu," katanya.
Malah, gelandangan yang hadir turut berpeluang menyertai program ceramah motivasi.
Tampil bantu bersama
Dalam pada itu, Jemay turut berharap dan mengajak lebih ramai rakan-rakan korporat dan pihak swasta bersama-sama menghulurkan sumbangan bagi memberikan peluang kepada mereka yang memerlukan.
Selain juadah berbuka, redONE Mobile turut menyampaikan sumbangan duit raya serta cenderahati kepada penghuni gelandangan serta golongan yang terlibat untuk persediaan Aidilfiltri.
Sementara itu, Pegawai Operasi Anjung Singgah, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Zon Tengah, Amir Rudin Abd Rahman berkata, pihaknya berbesar hati atas kesudian redONE Mobile bagi meraikan golongan itu berbuka puasa.
"Sebenarnya ini adalah usaha yang amat baik dan kami amat alu-alukan kepada mana-mana pihak untuk meneruskan program seperti ini.
"Banyak sebab mereka menjadi gelandangan antaranya merantau, ditimpa musibah, tidak mampu bayar sewa, masalah keluarga dan kehilangan pekerjaan.
"Jadi, kalau ada program sumbangan begini, mereka menganggapnya satu rezeki yang didoakan. Mudah-mudahan para penyumbang memperoleh balasan yang baik daripada tuhan,” katanya
Kerjasama bersama Sinar Harian
Dalam perkembangan lain, redONE Mobile menurut Jemay melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama rakan akhbar Sinar Harian sempena Ramadan antaranya program Iftar Ala Madinah, berbuka puasa bersama anak-anak yatim, sumbangan duit raya dan cenderahati.
"Kita himpunkan sukarelawan daripada redONE Mobile bersama Sinar Harian supaya matlamat kita untuk menyantuni golongan yang kurang berkemampuan ini dapat dicapai," ujarnya.
Malah, redONE Mobile turut merancang untuk mengadakan lebih banyak program CSR sepanjang tahun ini antaranya Projek Empowered 2 Teach melibatkan anak-anak pribumi bersama Persatuan Kebajikan Suara Kanak-kanak Malaysia (SUKA).
Pada masa sama, redONE Mobile merancang melaksanakan projek penanaman pokok bersama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) selain program Bantuan Kasih redONE, Kelas Komuniti Kampung Poh, Gopeng, Perak.
Selain itu, redONE turut merancang mengadakan Program Sokongan Adopt-A-Famlily melibatkan bantuan kewangan, makanan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya kepada saudara-mara ahli keluarga syarikat itu yang tinggal dalam kemiskinan ekstrem.