'Boikot bukan isu 3R tetapi pertahankan kesucian agama Islam' - Dr Akmal

Iklan
Muhamad Akmal.

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin yang mendakwa beliau hanya membabitkan isu 3R (agama, raja dan kaum) susulan kempen boikot terhadap rangkaian kedai serbaneka, KK Super Mart.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, tindakan memboikot itu tidak melibatkan isu 3R, sebaliknya untuk mempertahankan kesucian agama Islam yang dihina.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia berikutan bukan kali pertama atau kedua berlaku dan perkara tersebut telah menyakiti hati umat Islam di dalam negara ini.

"Jadi apa salahnya jika tindakan yang tegas dengan memboikot petualang-petualang ini dan ia sebenarnya isu akidah. Adakah dengan hanya minta maaf kita sudah berpuas hati disebabkan mahu jaga ekonomi?

Iklan

"Ini bukan isu mengenai KK Super Mart adalah Cina atau tidak tetapi ia apabila kedai serbaneka ini telah menghina orang Islam, jadi tindakan tegas perlu diambil oleh umat Islam di negara ini.

"Saya nak beritahu, jika perkara ini berlaku dalam Mydin sekali pun, kita akan melakukan perkara yang sama juga," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, Muhamad Akmal menggesa supaya umat Islam memboikot KK Super Mart susulan isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH SWT di salah satu cawangan kedai serbaneka itu.

Susulan itu, Ameer Ali berkata, ahli politik sepatutnya menjauhi isu 3R malah tindakan memboikot tersebut hanya menjejaskan keyakinan pelabur dan mata pencarian pekerja yang kebanyakannya orang Melayu dan Islam.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal turut membalas kenyataan Bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW menunjukkan tingkah laku yang perlu dicontohi apabila berdepan pihak lain.

"Saya menghormati atas pandangan dan ingin ucapkan terima kasih tetapi saya sudah terangkan dalam video sebelum ini bahawa ia bukan soal mahu memprovok, menjadi pembakar minyak atau menghangatkan keadaan.

"Ini soal bagaimana umat Islam di negara ini mengekspresikan kemarahan dan juga tindakan perlu kita lakukan kepada petualang yang menghina agama.

"Betul kenyataan Tan Sri bahawa zaman Rasulullah pendekatan yang lebih lembut tetapi harus ingat apabila agama mereka dihina pada zaman tersebut, ia tidak ada lagi kemaafan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!