SHAH ALAM - Persembahan seorang wanita di taman air, Aquaria KLCC sambil mengenakan ekor duyung dan berpakaian kebaya putih itu mencuri tumpuan netizen di media sosial.
Menariknya, tarian dalam air yang dilakukan oleh pemilik akaun TikTok, @reina_nana1014 atau dengan nama panggilannya Reina, tidak disokong oleh sebarang alat bantuan pernafasan.
Menerusi perkongsian videonya di TikTok itu, rata-rata netizen memuji penampilan wanita duyung tersebut yang kekal tenang melakukan persembahan sambil mengawal pernafasan di dalam air.
Video tersebut meraih tontonan sebanyak 7.9 juta dan dikongsikan sebanyak 3,360 kali melalui platform berkenaan.
Difahamkan persembahan Reina di lokasi terbabit dilakukan dalam acara tertentu sahaja.
Salah seorang pemilik akaun Tiktok, @lewlewkin bertanya, berapa lama tempoh masa yang diperlukan Reina untuk menahan nafas tanpa menunjukkan sebarang reaksi atau tanda-tanda panik.
Menjawab pertanyaan tersebut, Reina berkata, dia hanya dapat menahan nafas selama 30 hingga 40 saat di dalam air.
"Bergantung kepada berapa lama kamu boleh menahan nafas dalam air. Kebiasaannya saya hanya dapat menahan 30 hingga 40 saat setiap kali saya turun,” katanya di ruangan komen.
Sementara itu, pemilik akaun TikTok, @_ramarama_ turut memuji kecantikan Reina ketika melakukan persembahan tersebut.
"Dalam air pun muka lawa. Kalau aku macam dugong dah gamaknya,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28