PRK Kimanis: Slogan 'Cuti Balik Kampung' tarik pengundi

Iklan
Karim (dua dari kiri) berkata sesuatu kepada para penduduk sewaktu berkempen sempena PRK Parlimen Kimanis di Kampung Saga-Saga. - Foto Bernama

KIMANIS - Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang menggunakan strategi serampang dua mata menerusi slogan Cuti-cuti Balik Kampung Jumpa Ibu, Bapa, Mentua dan Saudara-Mara bagi menarik pengundi luar pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Karim berkata, pendekatan tersebut diyakini mampu menarik lebih ramai rakyat kawasan itu yang berada di Kota Kinabalu dan Labuan untuk pulang mengundi di kampung masing-masing selain boleh meluangkan masa bersama keluarga dan saudara-mara selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

Iklan
Iklan

"Kita mengenal pasti dan mengadakan mesyuarat dengan ketua pengundi luar. Dalam dua tiga hari nanti secara logistiknya ia akan dilancarkan termasuk moto yang saya gunakan untuk pengundi luar balik mengundi iaitu cuti-cuti balik kampung jumpa ibu dan bapa, mentua serta saudara-mara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra bagi bertemu pengundi di Tamu Pekan Membakut dekat sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, Warisan juga akan menggunakan sebaiknya platform media sosial untuk menguar-uarkan kepada rakyat Kimanis yang berada di luar kawasan berkenaan untuk pulang mengundi.

"Majoriti pengundi kawasan Parlimen Kimanis berada di Kota Kinabalu dengan jangkaan seramai 2,000 orang dan kira-kira 700 pengundi direkodkan di Labuan," katanya.

Iklan

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 18 Januari dan pengundian awal 14 Januari ini. - Bernama