BUKIT MERTAJAM - Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) merampas 912.5 kilogram karkas lembu bernilai RM36,500 dalam serbuan yang dijalankan berhampiran sebuah pasar di sini pagi Ahad.
Pengarahnya, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, karkas itu ditemui selepas sepasukan anggota penguatkuasa JPV Pulau Pinang menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu pada jam 6.20 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati, kesemua karkas lembu itu disyaki bukan disembelih di rumah penyembelihan yang diluluskan atau yang dilesenkan.
"Kita merampas kesemua karkas berkenaan kerana didapati tidak diuruskan mengikut undang-undang yang ditetapkan.
"Kesemua rampasan dibawa ke Pejabat JPV Pulau Pinang untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah Saira, nilai rampasan karkas lembu dan kenderaan yang disita dianggarkan bernilai RM81,500.
"Kes ini adalah rampasan terbesar yang dijalankan oleh JPV Pulau Pinang untuk tahun ini.
"Kes disiasat mengikut Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah binatang (Kawalan penyembelihan 2009)," katanya lagi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28