Kedah Agro untung zaman BN, rugi bila Pas tadbir - Shaiful Hazizy

Iklan
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

ALOR SETAR - UMNO Kedah mendakwa syarikat berkaitan kerajaan negeri, Kedah Agro Holdings Berhad (Kedah Agro) mula mencatatkan kerugian selepas pentadbiran negeri bertukar kepada Pas pada 2008.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, sebelum itu, syarikat berkenaan telah berjaya meraih keuntungan ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Iklan
Iklan

Menurutnya, Kedah Agro mencatat keuntungan antara 2005 hingga 2008 semasa era Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang memimpin negeri tersebut.

"Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) dengan penuh rasa tidak bersalah, menyalahkan kerajaan BN atas kegagalan kerajaan negeri dalam membayar gaji pekerja Kedah Agro yang tertunggak semenjak September 2023.

Iklan

"Kata Sanusi, Kedah Agro gagal buat perniagaan semenjak dari zaman saya menjadi Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Soalan mudahnya, bagaimana tiada perniagaan sekiranya tahun 2005 hingga 2008, zaman Datuk Seri Mahdzir Khalid, Kedah Agro untung sahaja.

Iklan

"Kedah Agro mula mencatat kerugian semenjak Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak menjadi MB Kedah dan Sanusi juga ketika itu adalah Setiausaha Politik kepada Ustaz Azizan, maksudnya daripada zaman Pas lah Kedah Agro tidak buat untung,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas Shaiful Hazizy, ini bukan kali pertama Muhammad Sanusi menyalahkan pihak lain seperti dalam isu gaji pemain bola sepak yang menyalahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, perkara sama juga berlaku dalam isu pelaburan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang menyalahkan Persekutuan.

"Kalau semua salah orang lain, Sanusi sahajakah yang betul? Ini sudah tahap maksum. Saya faham memang setiap tahun kerajaan akan beli aset baru, tapi perlu ada keutamaan.

"Dah tahu gaji tertunggak sejak September 2023, kenapa tidak selesaikan itu dahulu? Kenapa sibuk nak beli kereta beratus ribu,” ujarnya lagi.

Tambahnya, Menteri Besar itu perlu menerima hakikat bahawa ini bukan soal untung rugi syarikat GLC Kedah tetapi kerajaan negeri Kedah perlu bertanggungjawab ke atas semua staf dan pekerja mereka yang tidak dibayar gaji itu.

"Sanusi perlu sedar yang untung dan rugi itu memang adat perniagaan, tapi dalam isu ini, ini soal sifat kemanusiaan kerajaan negeri ke atas pekerja mereka.

"Gaji itu hak pekerja, hendak tidak hendak kena bayar, tidak kira untung atau rugi,” kata beliau lagi.

Pada Sabtu, media melaporkan Muhammad Sanusi mendakwa Shaiful Hazizy selaku bekas Setiausaha Politik kepada Ahmad Bashah sebagai individu paling layak memberi penjelasan berhubung masalah dialami Kedah Agro

Menurutnya, Shaiful Hazizy sepatutnya lebih tahu dalam isu itu kerana sebahagian besar masalah yang melanda syarikat milik kerajaan negeri itu didakwa timbul ketika BN memerintah Kedah.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28