PENYANYI Faizal Tahir yang mengikuti misi kemanusiaan di Lubnan menarik perhatian peminatnya apabila video bacaan al-Fatihah bersama anak-anak Syria sangat meruntun jiwa sesiapa mendengarnya.
Faizal Tahir atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 42, memuat naik video di akaun Instagram miliknya, semalam.
Pelantun lagu Ragaman mengetuai Majlis Khatam Al-Quran dan membaca al-Fatihah diikuti bersama-sama anak Syria di Kem Al-Jasmine.
Ada antara mereka sendiri mengalirkan air mata ketika bacaan itu diperdengarkan termasuk peminatnya di tanah air.
Malah ada memuji kemerduan suara Faizal Tahir yang menyifatkan ketenangan tatkala mendengar suaranya.
"'Berterabur' (bercucuran) air mata sambil membaca status, dengan al-Fatihah. Ia cukup menyentuh jiwa," kata Roslinda.
Kata azlyna84,"Subhanallah, moga ALLAH memberkati kamu dan rakan-rakan anda."
"Allahuakbar, semoga ALLAH kurniakan rezeki melimpah ruah kepada semua sukarelawan. Kebaikan kalian sangat bermakna," tulis norma.zaki.
Dalam pada itu, menerusi Facebook Cinta Syria Malaysia (CSM), anak-anak Syria datang berjalan ke masjid dalam cuaca sejuk untuk mengagungkan ayat suci.
"Dikelilingi anak anak syurga ini memberi satu aura yang sangat berbeza. Ia nyaman, namun di sebalik senyuman mereka ini, kami tahu derita besar yang melanda.
"Ada yang sebatang kara, hidup dengan entah siapa, ada juga yang kehilangan berbagai deria, hancur keluarga dan trauma dengan berbagai hal," katanya.
Selain Faizal Tahir, beberapa artis turut mengikuti rombongan misi kemanusiaan itu seperti Noh Salleh dan Aizat Amdan.