PRN Sabah: UMNO Sabah sasar 23 kawasan DUN untuk dimenangi

Iklan
Bung Moktar menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak dari golongan asnaf pada Majlis Berbuka Bersama UMNO Zon 3 di Dewan Masyarakat di Papar.

PAPAR - UMNO Sabah menyasarkan sekurang-kurangnya 23 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dimenangi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sehubungan itu UMNO Sabah giat melakukan siri jelajah ke kawasan yang disasarkan.

Iklan
Iklan

"Berapa sasaran kerusi saya akan maklumkan nanti, sekarang kita tengah merangka ke arah bagaimana pengagihan kerusi ini.

"Kita tidak maklumkan dulu (berapa kerusi) tetapi saya akan menjelajah di 23 kawasan dan kita sasar ini boleh menang.

Iklan

"Selebihnya ada beberapa kawasan yang kita kalah tetapi tidak kalah banyak, kita akan fikir untuk kita akan bertanding," katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Berbuka Bersama UMNO Zon 3 di Dewan Masyarakat di sini pada malam Sabtu.

Mengulas mengenai program yang dihadirinya, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, kemeriahan sambutan daripada rakyat di beberapa zon pada majlis anjuran UMNO menunjukkan parti itu masih disayangi rakyat Sabah.

Iklan

"Jadi saya menyarankan kepada pemimpin UMNO keraplah turun ke bawah buat jalinan dengan masyarakat bagi memastikan pada PRN akan datang UMNO bukan hanya ingin mencari kuasa tetapi mempunyai pengisian selepas menang nanti.

"Apa yang perlu kita lakukan ialah apa hala tuju kita untuk meyakinkan rakyat. Sebab itu tawaran-tawaran baharu kita kena sediakan. Kita tidak panggil manifesto tetapi tawaran baru kepada rakyat Sabah.

"Ini penting untuk memastikan rakyat terkeluar daripada rangkaian kemiskinan, 60 tahun saya tidak percaya perkara ini tidak boleh dilakukan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28