SIK - Tindakan sepasang suami isteri yang melakukan jenayah ragut akhirnya menjerat diri apabila mereka dikejar penduduk kampung hingga motosikal mereka terbabas.
Dalam kejadian yang berlaku di Jeneri, Sik kira-kira jam 6.15 petang semalam, suspek yang membonceng isterinya terjatuh dari motosikal dan mereka ditangkap penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman berkata, suspek yang berusia 20 dan 21 tahun itu dipercayai baru melakukan samun dan disedari penduduk Kampung Sungai Star, Jeneri, yang bertindak mengejar mereka.
"Pasangan suami isteri dari Jeniang, Kedah itu mengaku telah melakukan ragut di Kampung Sungai Semiar dan pernah melakukan jenayah yang sama sebanyak tiga kali," katanya.
Menurut Abdul Razak, polis merampas beg tangan berwarna coklat, motosikal Modenas Dinamik warna biru dan pisau bersarung anggaran 10 inci.
Katanya, difahamkan modus operandi mereka adalah mendekati mangsa untuk berinteraksi kononnya sedang bertanya jalan sebelum melarikan beg tangan yang diletakkan dalam raga motosikal.
Abdul Razak memberitahu, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 18 Januari depan untuk siasatan di bawah
Seksyen 395 Kanun Keseksaan.