Warga Kemboja lemas ketika menjala

Iklan
Anggota polis bersama bomba membantu mengangkat dan membawa mayat mangsa untuk dihantar ke hospital bagi urusan bedah siasat.

KUANTAN - Seorang lelaki warga Kemboja yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan bersama dua rakan di Sungai Mati, Tanjung Putus, Bukit Rangin dekat sini pada malam Sabtu ditemui lemas pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat mangsa, Sary Tolos, 26, ditemui jam 12.05 tengah hari di tebing sungai kira-kira 300 meter dari tempat dia dilaporkan tenggelam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel lori di Indera Mahkota bersama dua rakan ke lokasi kira-kira jam 8 malam untuk menjala ikan.

"Semasa berada di dalam air, secara tiba-tiba air berkocak sebelum mangsa tenggelam dan terus hilang," katanya.

Iklan
Anggota polis bersama bomba membantu mengangkat dan membawa mayat mangsa untuk dihantar ke hospital bagi urusan bedah siasat.

Wan Mohd Zahari berkata, rakannya ternampak kelibat ekor buaya di tempat mangsa tenggelam sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Kuantan kerana bimbang rakannya itu tenggelam akibat diserang haiwan terbabit.

"Bertindak atas maklumat, empat anggota polis ke lokasi kejadian untuk siasatan awal.

Iklan

"Semasa tinjauan di lokasi, anggota terlibat ternampak seekor buaya timbul di permukaan air dan kebetulan sungai tersebut memang habitat haiwan itu," katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan kekuatan 48 anggota dan pegawai terdiri dari pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Perhilitan.

"Hasil operasi SAR hari ini (Ahad), mayat mangsa telah ditemui dalam keadaan terdampar di tebing sungai setelah air surut.

"Siasatan awal menolak kemungkinan mangsa diserang buaya sebelum lemas berdasarkan keadaan mayat mangsa yang dijumpai dalam keadaan sempurna," katanya.

Jelas beliau, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!