500kg lebihan makanan, minuman di bazar Ramadan diselamatkan di Kedah

Iklan
Minuman yang disumbangkan oleh peniaga pada program MySaveFood@Ramadan 2024 di Bazar Ramadan Taman Ria. Foto Bernama

SUNGAI PETANI - Sebanyak 500 kilogram (kg) makanan dan minuman yang tidak habis dijual di beberapa bazar Ramadan di Kedah berjaya diselamatkan menerusi program MySaveFood@Ramadan 2024 yang dijalankan setakat ini.

Penyelaras Program MySaveFood negeri, Mohd Firdaus Mukhriz Abdullah berkata, sebanyak 16 lokasi bazar Ramadan yang dipilih untuk menjayakan program itu di negeri ini berbanding hanya sembilan lokasi tahun lepas.

Iklan
Iklan

"Antara lokasi terawal ialah di Bazar Ramadan Tapak Penjaja, Changlun yang berlangsung selama tiga hari bermula 18 Mac ... kita berjaya selamatkan kira-kira 280kg makanan dan minuman yang tidak habis dijual oleh peniaga-peniaga di situ.

"Di Bazar Ramadan Pekan Sik pula, pada 21 Mac hingga semalam, kita berjaya selamatkan kira-kira 100kg makanan dan minuman ... dan terdapat enam lagi bazar yang telah kita mulakan program dan masih berlangsung termasuk di Bazar Ramadan Taman Ria dekat sini yang bermula 22 Mac hingga esok," katanya ketika ditemui Bernama selepas mengedarkan risalah kepada peniaga di Bazar Ramadan Taman Ria dekat sini malam tadi.

Iklan

Mohd Firdaus berkata, lokasi lain antaranya termasuklah Bazar Ramadan Stadium, Alor Setar (21 hingga 24 Mac), Bazar Ramadan Taman Wira, Sungai Petani (21 hingga 24 Mac) dan Bazar Ramadan Kilang Lama, Kulim (22 Mac).

"Lokasi yang sedang dan akan dijalankan pula ialah Bazar Ramadan Taman Mahsuri, Padang Serai (23 hingga 27 Mac), Bazar Ramadan Taman Seri Aman, Jitra (23 Mac hingga 1 April), Bazar Ramadan Kepala Batas (23 hingga 26 Mac), Bazar Ramadan Sungai Korok, Kepala Batas (26 Mac), Bazar Ramadan Kuala Ketil, Baling (26 hingga 30 Mac), Bazar Ramadan Kodiang (28 Mac hingga 3 April) dan Bazar Ramadan Pekan Pendang (1 April).

Iklan

"Memasuki tahun ketiga penganjurannya, kita nampak ada peningkatan dari aspek kesedaran peniaga ... kita edarkan risalah dan selalunya peniaga akan menyumbang berbanding membuang lebihan makanan dan minuman yang tidak habis dijual itu," katanya.

Sebahagian sukarelawan mengasingkan makanan dan minuman yang disumbangkan oleh peniaga pada program MySaveFood@Ramadan 2024 di Bazar Ramadan Taman Ria. Foto Bernama

Beliau berkata, makanan yang diterima daripada peniaga akan ditimbang terlebih dahulu sebelum dilekatkan label dan diserahkan kepada mereka yang memerlukan antaranya gelandangan, rumah ibadat atau pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang kurang berkemampuan.

"Kita juga menekankan kualiti makanan dan setiap makanan akan dilabel perlu dimakan pada waktu moreh atau sebelum jam 11 malam atas faktor keselamatan kesihatan.

"Tahun lepas, kira-kira 2 tan makanan dan minuman di sembilan bazar yang berjaya diselamatkan ... dan saya berharap program ini akan dapat diteruskan lagi agar isu pembaziran setiap kali Ramadan, tidak lagi berlaku," katanya.

Sementara itu, Setiausaha IKRAM Muda Kedah, Nur Amira Abdul Rahim berkata, penganjuran program seperti itu bukan hanya memberi manfaat kepada golongan memerlukan, tetapi juga dapat mengisi masa lapang generasi muda dengan aktiviti sukarelawan.

"Tahun ini makin ramai yang menjadi sukarelawan, malah jika lebih ramai sukarelawan yang terlibat, kita dapat mengagihkan tenaga kerja agar program ini dapat dilaksanakan di bazar terpilih setiap hari sepanjang bulan Ramadan.

"Mungkin tahun hadapan kita boleh fokus pada satu-satu bazar sahaja agar pengumpulan lebihan makanan dan minuman dapat dibuat setiap hari," katanya.

Dalam perkembangan sama, seorang peniaga makanan, Rabiatul Adawiyah Sebanyang, 45, turut menyokong penuh usaha yang dilaksanakan MySaveFood dan berharap ia diadakan sepanjang Ramadan setiap tahun.

"Program ini bagus sebab ada peniaga yang jualannya tidak habis ... nak bagi jiran hari-hari menu yang sama pun mereka jemu juga ... bagus ada tempat untuk kumpul dan sasar agihan ... sekurang-kurangnya, orang susah dapat merasa makanan yang dijual di bazar.

"Cuma, jika ia dibuat sepanjang bulan Ramadan, itu lebih baik agar peniaga tahu setiap hari ada tempat untuk mereka letakkan makanan atau minuman yang tidak habis dijual," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28