SHAH ALAM - Semua pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan dipanggil untuk mendapatkan pandangan berhubung insiden pelajar perempuan maut terjatuh tingkat tiga di sebuah sekolah menengah di Bukit Rahman Putra, di Sungai Buloh.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Dr Jafri Abu berkata, sebarang keputusan daripada pertemuan itu termasuk cadangan untuk mengadakan program kesihatan mental di sekolah dibincangkan bagi mendapatkan ketetapan.
"Memang ada cadangan (program kesihatan mental) dan memang kita akan maklum kepada semua PPD mengenai isu ini dan melihat balik Surat Pekeliling Iktisas (SPI) berkaitan yang kita kena teliti di peringkat PPD dan sekolah.
"Saya akan berbincang dengan semua PPD dalam masa terdekat ini dan yang lain itu kita sudah ada garis panduan SPI termasuk berkaitan dengan kesihatan mental dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar perempuan maut jatuh tingkat 3 bangunan sekolah
Pada Sabtu, media melaporkan polis akan menyiasat pelbagai sudut termasuk masalah kemurungan berhubung kejadian pelajar perempuan maut terjatuh tingkat tiga di sebuah sekolah menengah di Bukit Rahman Putra, di Sungai Buloh.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor seperti dilaporkan portal dan sebuah agensi berita tempatan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.
Beliau berkata, ketika kejadian sesi pembelajaran sedang berjalan sebelum mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dipercayai akibat terjun.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan empat meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah menengah di Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh pada Jumaat.
Pelajar berusia 16 tahun terbabit disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan kes berkenaan diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Mengulas lanjut mengenai cadangan mengadakan program kesihatan mental di sekolah, Dr Jafri berkata, pihaknya akan melibatkan semua rakan senergi JPN Selangor sekiranya cadangan itu mendapat sokongan semua pihak.
"Buat masa terdekat ini saya akan berbincang dengan semua PPD dan PPD akan memaklumkan kepada pihak sekolah untuk tindakan seterusnya," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28