JOHOR BAHRU - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menafikan dakwaan terdapat karenah birokrasi dan sukar untuk Baitulmal atau pusat zakat di bawahnya meluluskan peruntukan kepada umat Islam di negeri ini yang memerlukan bantuan.
Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Nasri Md Ali berkata, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali sebaliknya pelbagai akses atau platform disediakan pihak Baitulmal dan pusat zakat termasuk dalam talian untuk mereka memohon bantuan.
"Mereka boleh datang ke pejabat selain e-mel permohonan, boleh juga melalui atas talian atau terkini boleh imbas 'bar code' yang disediakan. Pemimpin komuniti seperti ketua kampung juga boleh memainkan peranan membantu mereka.
"Tidak dinafikan mungkin ada sedikit kelemahan, kita tidak menolaknya, satu dua kes, itu lumrah selain ada masalah komunikasi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Belanja Raya Bersama Anak-anak Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Daerah Pontian di Pasar Raya Mydin, Mutiara Rini, Skudai di sini pada Ahad.
Sebelum ini terdapat umat Islam di negeri ini melahirkan rasa kecewa dan hampa yang mendakwa terlalu sukar mendapatkan bantuan daripada pihak Baitulmal atau pusat zakat.
Antara keluhan itu membabitkan seorang suri rumah yang mendakwa berputus asa untuk mendapatkan bantuan untuk kos rawatan suaminya yang menderita kanser tahap dua pada tahun lalu.
Menurut Norfarahain Abd Manap, 34, dia memohon bantuan MAINJ dan Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk suaminya, Adam Abdullah, 29, yang merupakan anggota tentera untuk menampung kos rawatan RM420,000.
Namun ibu kepada dua anak itu mendakwa bantuan tersebut tiada maklum balas bagi tempoh lama dan hanya mendapat bantuan MAINJ dan Mindef selepas kekecewaannya didedahkan serta kisahnya dikeluarkan pihak media.
Mengulas lanjut, Nasri berkata, pihaknya mendapati permohonan bantuan melalui platform digital amat kurang ketika ini dan mereka yang mahu memohon bantuan boleh juga melalui Facebook rasmi pihaknya termasuk disediakan nombor telefon untuk dihubungi.
Sementara itu, beliau memberitahu, pihak MAINJ menyasarkan kutipan zakat fitrah pada Ramadan tahun ini akan mencatat RM24 juta berbanding RM23 juta pada tahun lalu.
Nasri yakin sasaran tersebut mampu dicapai walaupun dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi terutama apabila sejak awal Ramadan sehingga kini kira-kira RM10 sehingga RM15 juta zakat fitrah sudah dikutip.
Jelas beliau, sasaran keseluruhan kutipan zakat pada tahun ini adalah berjumlah RM385 juta berbanding RM381 juta pada tahun lalu.
Mengenai program berkenaan, beliau berkata, seramai 1,100 pelajar terpilih untuk diberikan bantuan dari seluruh daerah di negeri ini membabitkan peruntukan RM220,000.
"Setiap penerima mendapat RM200 untuk membeli kelengkapan hari raya. Tujuan program tahunan ini diadakan untuk menggembirakan mereka dan meringankan beban keluarga asnaf berbelanja sempena hari Raya yang akan menjelang tidak lama lagi," ujar Nasri.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28