SEPANG - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang remaja lelaki yang didakwa menjalinkan hubungan dengan gurunya.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang wanita berusia 46 tahun pada jam 10.30 malam, 12 Disember lalu.
"Wanita itu mendakwa terdapat kesan kemerahan pada leher anaknya yang pada ketika itu berusia 16 tahun, kejadian tersebut dikatakan berlaku selepas mangsa balik dari ulang kaji pelajaran bersama guru matematik," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Wan Kamarul berkata, siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang mendapati kejadian berlaku pada jam 4.50 petang, 12 Disember lalu.
"Pelajar itu mendakwa telah dipeluk dan dicium oleh guru matematik berusia 37 tahun itu hingga meninggalkan kesan kemerahan pada lehernya," katanya.
Beliau berkata, mangsa telah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan ke atas kesan kemerahan yang terdapat pada lehernya.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta kesalahan Seksual Terhadap kanak Kanak 2017.
"Kita sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan
lanjut," katanya.
Mengulas lanjut, Wan Kamarul mengesahkan hantaran di media sosial berkenaan salah laku seksual oleh seorang guru wanita ke atas pelajar lelaki adalah benar.
"Orang awam dinasihatkan tidak menimbulkan spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak benar berkenaan kejadian itu," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28