SHAH ALAM - Pendaki solo junior yang juga pelajar Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berjaya meredah salji selama tujuh jam ketika menjalani latihan altitud tinggi gunung salji di Banjaran Himalaya, Nepal.
Cabaran itu dilalui Muhammad Syahrulnizam Mohd Noor, 19, yang menjalani latihan dari 11 hingga 22 Mac lalu sebagai persediaan Misi Everest 2025 di Tilicho Lake 4,919 meter yang tertinggi di dunia dan sekitar Thorong La Pass setinggi 5,416 meter.
Sepanjang latihan di bulan puasa, Muhammad Syahrulnizam hanya berbuka dan bersahur dengan nasi goreng sayur serta nasi telor kari bersama air kopi Superbest Power dan juga serbuk campuran nikotinamide mononucleotide (NMN) untuk tenaga yang dibekalkan Diem Duroil.
Cabaran yang terpaksa dialaminya di luar jangka kerana cuaca sejuk dan hujan salji yang berterusan sehingga mencapai -20 darjah Celsius.
Selepas selesai latihan sekitar Tilicho Lake, Muhammad Syahrulnizam meneruskan perjalanan menuju ke Yak Kharka setinggi 4,060 meter yang mengambil masa sehingga sembilan jam.
Keadaan cuaca yang semakin buruk dengan hujan salji yang berterusan menyebabkan trek pendakian ditutupi salji yang merbahayakan pergerakan untuk menuju ke paras yang lebih tinggi.
Oleh kerana hanya lorge di Yak Kharka sahaja yang masih ada bekalan eletrik dan juga WiFi, Muhammad Syahrulnizam mengambil peluang untuk mengikuti kelas pembelajaran secara dalam talian.
Ketika itu semua pendaki yang menuju ke Thorong La Pass terpaksa berpatah balik ekoran hujan salji semakin lebat menyebabkan trek pendakian ditutupi salji.
Muhammad Syahrulnizam membuat penyesuaian dalam keadaan yang sejuk sehingga ke Thorong Phendi dan kembali ke Yak Kharka kerana bekalan elektrik dan WiFi tidak berfungsi.
Beliau juga berkesempatan melakukan latihan kecergasan selama beberapa hari di kawasan sekitar dengan perjalanan lebih lima jam sehari untuk memperkuatkan mental dan fizikal ketika di gunung salji yang kurang oksigen.
Selepas itu, Muhammad Syahrulnizam yang turut ditemani pendaki solo, Mohd Noor Mat Amin serta Aisyah Khatun bergerak turun menuju ke Manang sebelum menaiki pacuan empat roda ke Pokhara dan seterusnya ke Kathmandu serta dijangka pulang ke tanah air pada Selasa.
Misi Everest 2025 dianjurkan Jejak Pensolo dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, FSR, UiTM Shah Alam, Pertubuhan Nadi Sihat dan Diem Duroil manakala Superbest Power bertindak selaku minuman tenaga rasmi.