PENDANG - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dapat memberi lebih perhatian terhadap keberhasilan projek berbanding kuantiti projek yang dijalankan.
Beliau yang juga Menteri KKDW berkata, keberkesanan kos harus menjadi agenda utama dalam perancangan dan pelaksanaan sesuatu projek.
Katanya, selain itu sesuatu projek juga perlu menumpukan kepada usaha mengeluarkan masyarakat dari garis kemiskinan terutamanya yang berada di bawah garis kemiskinan tegar.
"Kita mahu mewujudkan lebih ramai usahawan yang berjaya dengan tumpuan kepada pengeluaran produk yang mendapat permintaan meluas di luar Malaysia.
"Antara produk ini termasuk bahan pembuatan ubat-ubatan yang sumbernya banyak di negara ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Santunan Kasih Ramadan KKDW Masjid Al-Falah, Felda Sungai Tiang di sini pada Ahad.
Sementara itu, mengulas mengenai pelaksanaan Program Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) di bawah KKDW, Ahmad Zahid berkata, maahad tahfiz juga disaran untuk menyertai kursus TVET di bawah kementerian itu.
"Kita sarankan mereka hubungi kita dan kementerian akan buat penelitian mengikut kesesuaian maahad itu sendiri untuk kita bawa pelajar-pelajarnya mengikuti kursus TVET.
"Kita juga bersedia membimbing maahad yang belum berdaftar untuk didaftarkan sesuai dengan syarat-syarat yang berkenaan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28