SHAH ALAM - Walaupun sudah memasuki minggu ketiga sesi persekolahan 2024, masih ada ibu bapa perlu berhadapan dengan ragam anak dalam peringkat menyesuaikan diri terutamanya darjah satu.
Pelbagai ragam anak-anak dapat dilihat ketika berada di dalam kawasan sekolah, ada yang menangis, merengek, merajuk dan mengamuk. Itu antara perkara perlu didepani ibu bapa dan guru.
Baru-baru ini, tular satu video di aplikasi TikTok yang memperlihatkan seorang kanak-kanak lelaki menangis di hadapan kelas kerana ditinggalkan ibu bapanya untuk meneruskan sesi persekolahan.
Menerusi klip video berdurasi 15 saat yang dimuat naik oleh ibu kanak-kanak berkenaan, Era Syakira memaparkan kanak-kanak tersebut berada di dalam longkang kecil di hadapan kelas sambil menangis mahu ikut ibunya pulang.
Kelihatan juga kawan-kawannya sedang memujuk agar dia tidak menangis dan bertenang, video tersebut mendapat 75.3 ribu tanda suka.
Menurut bapa kanak-kanak itu, Mohd Redzuan Ab Jalil, 38, situasi dalam video itu berlaku ketika dia dan isterinya menghantar anak mereka ke sekolah agama pada waktu petang lebih awal berbanding kebiasaan.
"Saya biasanya hantar dia ke sekolah ketika cikgu ada, kalau cikgu ada di dalam kelas dia tidak meragam namun hari itu terfikir mahu hantar awal dengan harapan dia dapat berkawan, tapi lain pula jadinya.
"Anak saya kalau cikgu ada dalam kelas dia tidak menangis, elok sahaja belajar, cikgu pun ada beritahu kelakuannya baik dan tidak banyak ragam," jelasnya.
Tambah Mohd Redzuan, anaknya merupakan anak bongsu dan sangat manja ketika berada di rumah.
"Dia pun memang manja dengan saya memandangkan jarak umur antara dia dan tiga abang kembarnya jauh iaitu enam tahun. Video itu direkod hanya untuk dijadikan kenangan kami sekeluarga pada masa akan datang.
"Tergelak saya tengok ragam dia, jadi kenangan untuk kami nanti. Tak tahu lah sampai bila, saya tengok di ruangan komen ada yang kata anak mereka sebulan dan dua bulan," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!