KOTA BHARU - Penyambungan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hingga ke Rantau Panjang sebagaimana titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V masih dalam peringkat kajian.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kajian tersebut sedang dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan.
"Bagaimanapun perkembangan lanjut berkait dengan perkara tersebut akan diumumkan oleh menteri pada masa yang sesuai nanti.
"Tentunya perkara ini (sambungan ECRL ke Rantau Panjang) dalam kajian," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama ECRL di sini, pada Ahad.
Hadir sama Exco Jawantankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin.
Pada majlis tersebut MRL bersama China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Sultan Muhammad V mahu jajaran ECRL disambung ke Rantau Panjang dalam memacu pertumbuhan ekonomi antara sempadan.
Titah tersebut dibacakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2024.
Baginda bertitah, langkah itu juga mampu mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Thailand.
"Beta juga menyeru supaya projek jaringan jalan raya utama di Kelantan seperti Central Spine Road dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
"Beta juga berharap agar pelaksanaan projek-projek tertangguh yang lain seperti jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai, Jambatan Palekbang dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT 3) dapat disegerakan bagi memastikan rakyat beroleh manfaatnya," titah baginda.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28