KUALA LUMPUR - Pelan tindakan alternatif untuk meningkatkan akses jalur lebar supaya sampai ke kawasan luar bandar dan jaminan kerajaan untuk memastikan barangan keperluan bersubsidi kembali pulih antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu mengenai akses jalur lebar diutarakan Edwin Anak Banta (GPS-Selangau) kepada Menteri Komunikasi pada sesi soal jawab.
Pada sesi sama, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan mengenai jaminan kerajaan untuk memastikan barangan keperluan bersubsidi seperti gula, minyak peket dan beras tempatan kembali pulih seperti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15.
Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) pula mahu Menteri Pertahanan menyatakan senarai terperinci langkah yang telah dilaksanakan seperti digariskan di bawah Kertas Putih Pertahanan dari 2019 hingga 2023.
Sementara itu, empat rang undang-undang akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama.
Rang undang-undang itu adalah Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024, Rang Undang-Undang Cukai Pendapatan (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2024.
Persidangan hari ini juga akan menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023, selain Rang Undang-Undang Juruukur Tanah Berlesen (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 yang turut tersenarai untuk bacaan kali kedua.
Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 19 hari hingga 27 Mac ini. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28