Temui ajal ketika cuba bantu mangsa kemalangan

Iklan
Keadaan lori satu tan yang remuk dalam nahas di kilometer (KM) 329.8 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) awal pagi Isnin.

KEMAMAN - Niat murni seorang pemandu lori membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila dia maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 329.8 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan awal pagi Isnin.

Difahamkan, sebelum kejadian pada jam 2.35 pagi itu, mangsa, Magendiran Ranganathan, 52, yang memandu lori Isuzu tiga tan dipercayai merempuh sebuah lagi lori jenis sama dengan muatan satu tan mengakibatkan kenderaan tersebut terbabas, hilang kawalan lalu terbalik di sebelah lorong kanan jalan.

Iklan
Iklan
Keadaan Ford Ranger yang remuk setelah terlanggar lori muatan satu tan yang berada di lorong kanan jalan dalam kejadian di kilometer (KM) 329.8 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mangsa kemudian memberhentikan kenderaan di sebelah kiri bahu jalan dan turun daripada kenderaan itu untuk membantu pemandu lori tersebut.

"Ketika mangsa ingin memberi bantuan, pemandu lori itu telah keluar dari kenderaan dan berlari ke bahu jalan sebelum datang sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dari arah yang sama lalu terlanggar lori muatan satu tan berada di lorong kanan jalan itu.

Iklan
Keadaan lori Isuzu satu tan yang remuk keseluruhan kenderaan setelah terlibat nahas di kilometer (KM) 329.8 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) awal pagi Isnin.

"Akibat rempuhan tersebut lori jenis Isuzu itu terseret dan terkena pada mangsa menyebabkannya maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Menurut Hanyan, dua lagi mangsa iaitu pemandu lori, Abdul Aziz Salleh, 32, tidak mengalami kecederaan sementara pemandu Ford Ranger, Wan Zubaidi Wan Ramlan, 35, cedera pada bahagian kaki kanan dan dada.

Iklan

"Pemandu Ford Ranger yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!