KOTA BHARU - Seorang peniaga didenda sebanyak RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah memiliki 108 naskhah al-Quran tanpa kelulusan Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri membuat keputusan itu terhadap Orang Kena Saman (OKS), Muhammad Imran Sahimi, 36.
Mahkamah turut menetapkan OKS dikenakan lima bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.
Peniaga itu melakukan kesalahan terbabit di sebuah kedai di Jalan Tengku Petra Semerak di sini pada 15 Oktober 2022 kira-kira jam 10.30 pagi.
OKS didapati mempunyai 56 naskhah al-Quran An-Nur dan 52 al-Quran Mumayyaz dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7 (1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 7 (2) akta yang sama.
Sebelum itu, Pegawai Pendakwa KDN, Mastini Zakaria memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana membabitkan al-Quran dan agama.
OKS yang tidak diwakili peguam membayar denda berkenaan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28