SC terima 3,262 aduan, pertanyaan mengenai penipuan serta aktiviti tidak berlesen

Iklan
SC terima 3,262 aduan dan pertanyaan mengenai penipuan dan aktiviti tidak berlesen pada tahun lepas. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima 3,262 aduan dan pertanyaan mengenai penipuan dan aktiviti tidak berlesen pada tahun lepas, mewakili peningkatan ketara sebanyak 321 peratus sepanjang lima tahun lepas dari 2019 hingga 2023.

Menerusi Laporan Tahunan 2023 yang dikeluarkan pada Isnin, SC menjelaskan bahawa pihaknya hanya menerima 774 aduan dan pertanyaan berhubung aktiviti terbabit pada 2019.

Iklan
Iklan

"Selama bertahun-tahun, kita telah melihat banyak kejadian individu atau entiti telah ditipu, diperdaya, diberikan maklumat palsu serta didesak untuk memberikan wang dan simpanan persaraan mereka oleh aktiviti penipuan licik yang menjanjikan pulangan dan faedah yang sangat lumayan.

"Aktiviti yang demikian juga dicerminkan dalam peningkatan jumlah aduan dan pertanyaan yang diterima oleh SC, mengenai aduan dan pertanyaan yang kebanyakkanya berdasarkan penipuan dan aktiviti tidak berlesen,” tambah SC.

Iklan

Suruhanjaya itu memaklumkan selain daripada pelbagai jenis penipuan termasuk penipuan pelaburan dan aktiviti tidak berlesen, terdapat juga peningkatan yang membimbangkan yang melibatkan tatalaku syarikat awam tidak tersenarai (UPC) dan entitI yang menawarkan produk Cash Trust.

Menurut SC dalam kebanyakan penipuan itu, pelaku menggunakan laman web palsu, halaman media sosial dan akaun bank keldai untuk mempromosikan dan menjalankan aktiviti haram mereka.

Iklan

Dalam sesetengah kes, penipu menyalahgunakan nama agensi seperti SC, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pengantara berlesen, visual selebriti tempatan dan pemimpin agama untuk memberi jaminan kesahihan terhadap skim pelaburan tersebut, tambahnya.

SC memaklumkan bahawa pada 2023, penggunaan platform media sosial, khususnya Facebook dan Telegram, terus menjadi mod utama pelaku untuk menjalankan aktiviti haram mereka.

"Modus baharu diperhatikan pada 2023, adalah penggunaan e-dompet dan mata wang kripto sebagai cara pembayaran yang melibatkan penipuan pelaburan, berbanding akaun bank keldai yang digunakan sebelum ini.

"Memandangkan taktik yang berubah-ubah oleh pelaku, SC kekal melaksanakan pemantauan dan pengawalseliaan yang berterusan untuk mengurangkan risiko entiti terkawalnya, berpotensi untuk digunakan sebagai saluran aktiviti haram,” tegas SC.

SC juga mendapati evolusi penipuan pekerjaan dan penipuan cinta yang kini kerap mempunyai unsur penipuan pelaburan.

SC sentiasa memantau dan mengambil maklum trend baharu yang muncul serta modus operasi penipuan untuk memastikan intervensi yang wajar dan tepat pada masanya diambil terhadap penipuan pelaburan.

Selain itu, SC kerap menerima aduan dan pertanyaan mengenai pengendali aktiviti tidak berlesen yang tidak semestinya melakukan penipuan, tambahnya.

Walaupun beberapa aktiviti tidak berlesen dijalankan secara tempatan oleh rakyat Malaysia dengan kehadiran individu tempatan, terdapat juga entiti asing yang menjalankan aktiviti tidak berlesen di Malaysia, tambah SC.

"Entiti asing ini mungkin dilesenkan atau dikawal selia dengan sahih oleh pengawal selia asing. Walau bagaimanapun, mereka akan dianggap masih melanggar undang-undang Malaysia jika mereka menjalankan aktiviti di Malaysia, memohon pelanggan Malaysia atau telah mendapat kehadiran tempatan di Malaysia tanpa lesen yang diperlukan atau pendaftaran dengan SC,” tegas suruhanjaya itu.

Susulan peningkatan pelabur dalam menghadapi risiko yang lebih besar untuk menjadi mangsa penipuan dan eksploitasi kewangan, SC pada 2023 telah menjalankan kajian analisis tingkah laku untuk menilai tingkah laku pelabur dan sikap terhadap pelaburan, cabaran dan keupayaan dalam perjalanan pelaburan mereka serta kelemahan mereka terhadap penipuan.

SC memaklumkan bahawa kajian itu menunjukkan terdapat sejumlah 384 daripada 1,302 atau 30 peratus daripada responden lebih mudah terdedah kepada penipuan.

"Berdasarkan kumpulan yang lebih mudah terdedah ini, pemerhatian selanjutnya mendapati 59 peratus adalah lelaki; 34 peratus adalah golongan belia berumur 31 hingga 40 tahun; 44 peratus adalah hak milik isi rumah B40; serta 70 peratus mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan diploma,” jelas SC.

SC berkata kajian itu juga menunjukkan bahawa kumpulan yang paling berisiko adalah yang berpaut kepada keluarga dan rakan untuk membuat keputusan pelaburan daripada bergantung pada pertimbangan, pengalaman, dan pengetahuan mereka sendiri.

"Mereka juga lebih mudah dipujuk untuk melabur dalam skim apabila dipengaruhi individu tidak berlesen dan tidak berkelayakan. Penemuan daripada kajian ini menunjukkan peningkatan untuk kumpulan ini didedahkan terhadap peluang pelaburan secara sukarela termasuk penipuan,” kata SC.

Pengawal selia itu menjelaskan bahawa hasil kajian juga membantunya untuk lebih memahami profil pelabur yang berisiko dan sebagai maklumat penting apabila merumuskan intervensi yang diperlukan melalui sasaran program jangkauan.

Di samping mengambil tindakan berdasarkan aduan dan pertanyaan yang diterima, SC mempunyai unit khusus untuk memantau dan mengesan aktiviti dan penipuan dalam talian tanpa lesen secara proaktif yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia, tambahnya.

Menurut SC sehingga 31 Dis tahun lepas, sejumlah 569 URL (2022: 382 URL) telah dikesan melibatkan pelbagai laman web dan platform media sosial untuk potensi pelanggaran dalam menawarkan aktiviti tidak berlesen kepada rakyat Malaysia,

Daripada jumlah ini, 51 peratus adalah daripada Telegram, 27 peratus daripada Facebook, sembilan peritus daripada Instagram dan 13 peratus daripada sumber lain seperti laman web, YouTube, TikTok, dan sebagainya.

"Pada awal 2023, Pasukan Petugas mengenai Aktiviti/Penipuan telah ditubuhkan untuk memberikan tumpuan yang lebih besar terhadap bidang yang dikenal pasti untuk menyekat peningkatan aktiviti/ penipuan tidak berlesen,” tegas SC.

Menurut suruhanjaya itu selain penipuan dan aktiviti tidak berlesen, pihaknya juga memerhatikan beberapa kemungkinan tatalaku buruk oleh UPC yang biasanya menawarkan saham keutamaan dan entiti yang menawarkan produk Cash Trust.

"Tinjauan SC mencadangkan bahawa terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan pelanggaran undang-undang sekuriti termasuk penawaran saham oleh UPC kepada pelabur runcit tanpa mendaftarkan prospektus dengan SC,” tambahnya.

SC memaklumkan bahawa dalam hal itu, beberapa penyiasatan telah dimulakan oleh SC yang melibatkan tawaran UPC dan entiti yang menawarkan produk Cash Trust, ini termasuk kemungkinan pelanggaran Seksyen 58 (keperluan untuk lesen perkhidmatan pasaran modal), Seksyen 232 (keperluan untuk mendaftarkan prospektus berhubung dengan sekuriti) dan Seksyen 179 (penggunaan peranti yang menimbulkan keraguan dan penipuan) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

"Khususnya berkenaan UPC, SC sedang menyemak rangka kerja kawal selia semasa. Ini dipertimbangkan untuk memperkenalkan keperluan bagi penilaian dan usaha wajar dalam menangani sebarang jurang yang merugikan dan berbahaya kepada pelabur,” tegas SC. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28