SHAH ALAM - Penyediaan menu hidangan secara pukal yang boleh dikongsi dengan komuniti, adik-beradik mahupun kenalan terdekat antara kaedah penjimatan yang boleh diamalkan orang ramai yang mahu mengurangkan kos penyediaan makanan dalam bulan Ramadan.
Langkah itu disuarakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) susulan peningkatan harga juadah yang dijual di bazar Ramadan tahun ini.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, dalam keadaan harga jualan yang terus meningkat, pengguna sendiri perlu bijak menyelesaikan masalah agar tidak terperangkap dengan keadaan yang boleh memberi tekanan.
Justeru menurutnya, kesepakatan antara satu sama lain perlu diwujudkan bagi membuat perancangan yang sebaiknya.
"Maknanya kita berpakat... bila pakat, banyak (masalah) boleh atasi... bila beli barang banyak, mungkin dapat (harga) murah lagi... jadi kita kena cari jalan.
"Pengguna kena bijak... sama ada nak masak satu dapur... kita kena ambil perhatian dan buat perancangan.
"Mungkin mula dengan adik beradik dan kawan-kawan rapat dulu untuk tangani masalah ini supaya akhirnya kita sendiri buat perancangan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Dalam masa sama beliau menegaskan, pengguna perlu bijak merancang jenis hidangan yang lebih tahan lama sekiranya dibekukan.
Katanya, kaedah penyimpanan yang betul juga perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan pembaziran.
"Rancang baik-baik makanan yang boleh tahan dua ke tiga hari. Selepas masak boleh terus bekukan.
"Maknanya kena amat berhati-hati dengan perancangan kita.
"Jangan sampai terbuang, membazir... penyimpanan kena elok," katanya.
Selain itu katanya, orang ramai juga perlu mengamalkan sikap bersederhana untuk menyediakan makanan sepanjang bulan Ramadan selari dengan tuntutan agama.
Memberi contoh menu bubur nasi, beliau berkata, ia antara hidangan yang boleh menjimatkan.
"Makan bubur pun sihat, pencernaan pun bagus. Jadi kena belajar makan.
"Dalam bulan puasa, bersederhana lebih menjimatkan tapi orang kita, bila bulan puasa nak makan berlebih-lebihan.
"Ini bukan bulan makanan, ini bulan mendidik diri kita untuk menangani masalah," katanya.
Tambah beliau lagi, untuk jangka masa panjang, pengguna perlu menjadi lebih produktif contohnya dengan menanam sayur.
"Kita tahu semua keadaan susah dan kalau kita nak menangani masalah ini kita kena tambahkan inisiatif agar lebih produktif supaya perkara ini tidak membebankan kita secara berterusan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28