JOHOR BAHRU – Polis Johor mengesahkan menerima 14 lagi laporan berhubung isu stoking yang tertera kalimah ALLAH.
Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, ia menjadikan sebanyak 25 laporan polis diterima setakat ini berhubung isu berkenaan setelah 11 laporan polis dibuat minggu lalu.
"Selain laporan polis berhubung isu stoking itu, kita juga ada menerima satu laporan berhubung ancaman diterima oleh pihak kilang di Taman Perindustrian Sri Gading yang didakwa mengedarkan stoking berkenaan.
"Malah, wakil kilang turut berdepan ugutan di hadapan premis berkenaan secara bersemuka 19 Mac lalu.
"Perkara ini diketahui polis apabila wakil kilang membuat laporan setelah video ancaman tular di media-media sosial dan kita akan siasat kes ini di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada sidang akhbar di sini, pada Isnin.
Kumar berkata demikian pada sidang akhbar sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 peringkat Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Kumar turut menafikan dakwaan mengatakan pihak polis lewat melakukan serbuan ke atas kilang yang didakwa sebagai pengedar stoking tertera kalimah ALLAH, di Batu Pahat baru-baru ini.
Katanya, dakwaan itu tidak benar kerana serbuan dibuat sejurus risikan dilakukan.
"Dakwaan lambat itu hanya tinggal dakwaan sebab bagi saya tindakan kita pantas dan tiada elemen lewat.
"Malah, kilang itu juga telah diperiksa oleh 40 pegawai. Setiap inci kilang itu telah diteliti dan tiada ruang yang terlepas daripada pemeriksaan dan pemantauan polis,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!