Lima tahun derita akibat gangguan lalat

Iklan
Nafisah dan Johari menunjukkan kertas pelekat lalat digunakan bagi menangani gangguan serangga berkenaan.

KUALA SELANGOR - Kira-kira 400 penduduk di Kampung Parit Mahang di sini menderita akibat gangguan lalat sejak lima tahun lalu.

Keadaan itu dipercayai berpunca berikutan kewujudan dua ladang ternakan ayam yang terletak di kampung berkenaan.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk, Nafisah Brahim, 44, berkata, penduduk hidup dalam keadaan tertekan lebih-lebih lagi ketika ingin membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri.

"Penduduk tertekan disebabkan masalah ini seolah-olah tiada jalan penyelesaian sedangkan sudah banyak aduan mengenainya kita bawa kepada pihak berwajib," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Nafisah memberitahu, keadaan lebih merunsingkan penduduk setiap kali musim ayam keluar daripada ladang.

"Memang kami rasa tak tenang, bila berada di rumah hendak masak pun susah sebab lalat terlalu banyak," jelasnya.

Iklan

Malah, katanya, penduduk terpaksa membeli pelekat lalat dengan kos perbelanjaan yang tinggi.

"Rumah saya misalnya memerlukan sekurang-kurangnya 10 kertas pelekat lalat dengan anggaran perbelanjaan RM4 sehari.

"Keadaan ini memberi tekanan kepada kami, bayangkan jika mereka yang tidak berkemampuan menghadapi masalah lalat setiap hari?," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Johari Yusof, 65, berkata, penduduk bimbang jumlah lalat yang terlalu banyak mengundang risiko kepada kesihatan penduduk.

Menurut Johari, penduduk buntu menghadapi masalah itu dan keadaan lebih sukar setiap kali mereka mengadakan majlis keraian.

"Kami malu dengan tetamu yang datang kerana mereka hendak makan terganggu dan keadaan ini memberi imej tidak baik kepada kampung ini," jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Jefri Mejan berkata, perkara itu sudah dibawa kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) untuk tindakan lanjut.

Jefri

Katanya, MPKS juga telah menjalankan pemeriksaan di dua ladang ayam itu pada 12 dan 19 Mac lalu.

"Kita tidak menghalang penternak mengeluarkan ayam, tetapi kita berharap pemilik ladang mematuhi SOP (prosedur operasi standard) pengurusan ayam dengan cara betul.

"Kita berharap ada jalan penyelesaian bagi menangani perkara ini bagi mengurangkan tekanan kepada penduduk sekitar kawasan ini," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!