'Hijrah tidak sukar, tetapi istiqamah ujian sebenar'

Iklan
Lisa Surihani

PROSES 'penghijrahan' Datin Lisa Surihani ke arah hidup sebagai muslimah yang lebih baik sememangnya cukup dikagumi dan disenangi ramai.

Biarpun tidak pernah mendedahkan asbab bertukar imej tetapi perkongsian positif yang dipaparkan menerusi media sosial atau ketika muncul di acara tertentu secara tidak langsung memberi inspirasi kepada ramai terutama golongan wanita.

Iklan
Iklan

Justeru, ramai sebenarnya yang ingin mengetahui perjalanan suri hati kepada pengarah dan penyanyi, Datuk Yusry Abdul Halim dalam memperbaiki diri mencari reda ALLAH SWT.

Akui wanita berusia 38 tahun itu kepada Sinarplus, melalui penghijrahan tidak sukar tetapi proses istiqamah yang menjadi ujian sebenar pada setiap individu kerana ia berbeza-beza.

Iklan

"Tidak dinafikan istiqamah satu proses yang sukar dan itulah yang kita perlukan kerana sudah menjadi fitrah manusia atau kebiasaan kalau lalui kesenangan, kita akan mudah alpa.

"Bila lalui sesuatu yang sulit atau sukar, itu yang membuatkan kita akan lebih mengingati ALLAH SWT berbanding saat senang. Namun, semua itu adalah satu ujian untuk kita lebih dekat kepada-Nya," ujarnya.

Iklan

Lisa berkata demikian semasa majlis pelancaran koleksi Ariani One Thousand And One Tales di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lisa menganggap tawaran bersama Ariani untuk tahun kedua sangat sukar ditolak dan mereka kini ibarat satu keluarga besar bersama. Foto Ariani& Lisa Surihani

Tambah ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, dalam apa juga yang diperkatakan dan dilakukan terutama melibatkan niat, perlu ada tahap ihsan.

Atas sebab itulah, penting untuk setiap individu berasakan ALLAH SWT sentiasa memerhati dan tahu apa yang dilakukan dalam melalui proses istiqamah.

"Tidak dinafikan hati kita mudah berbolak-balik tetapi jangan cepat mengalah. Apabila kita rasa iman semakin menipis, harus berusaha 'topup' iman supaya dapat rasai kemanisan iman.

"Pada masa sama, jangan rasa cepat puas dengan apa yang kita ada, harus ada penambaikan.

"Contohnya, semak semula ibadah kita, solat, bacaan al-Quran, zikir, selawat, sedekah. Tanya diri sendiri apa gred untuk semua ibadah yang dilakukan. Kita juga harus letak sasaran untuk memperbaiki apa yang lemah," ujarnya.

Malah, pemilik nama penuh Lisa Surihani Mohamed itu turut mengingatkan agar mana-mana individu tidak perlu ada rasa malu atau segan dalam melalui proses memperbaiki diri.

Rezeki

Walaupun sibuk dengan penggambaran, Lisa akan cuba memberi masa buat keluarga, apatah lagi anak sulungnya Yahaira Leanne, 9, mahu berpuasa penuh.

Sementara itu, berkongsi aktivitinya sepanjang bulan Ramadan tahun ini, Lisa berkata, dia sibuk dengan penggambaran dua drama bersiri.

Walaupun bimbang mengganggu kerohanian dan momentumnya pada bulan puasa, bintang Istanbul Aku Datang itu berharap mempunyai masa untuk beribadah.

"Ramadan tahun ini berbeza sedikit buat saya, kalau tahun lepas dapat bertadarus pada waktu pagi tetapi kali ini saya akan sibuk dengan penggambaran dua siri, salah satunya sebagai cameo sahaja.

"Insya-ALLAH, saya berharap tidak sibuk sehingga penghujung Ramadan. Nak tolak tawaran pun tak boleh sebab itu rezeki, jadi saya hanya mampu berdoa agar ALLAH halalkan apa yang dilakukan dan jangan jauhkan diri ini daripada-Nya," ungkapnya penuh makna.

Selain itu, Lisa turut terlibat sebagai pengacara bersama menerusi program Bidadari Syurga di Astro Oasis dan sebuah lagi program Jom Khatam di saluran sama.

"Untuk program Jom Khatam, saya cuba beranikan diri dan anggap proses penggambaran rakaman itu sebagai kelas mengaji untuk memperbaiki diri.

"Malah, saya berharap program itu nanti akan memberi inspirasi kepada mereka di luar sana yang mungkin seperti saya masih merangkak baca al-Quran tetapi berusaha memperbaiki diri dan menjadikan kitab suci itu sebagai kawan baik," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!