SHAH ALAM - Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarahkan untuk memainkan peranan dalam menangani isu melibatkan agama, raja dan kaum (3R) lebih-lebih lagi jika ia dibangkitkan di media sosial.
Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, perdebatan isu 3R tidak dinafikan semakin hangat diperkatakan ketika ini dan ia amat penting untuk dikawal dalam usaha menyatupadukan semula masyarakat.
"Apabila masyarakat berpecah belah, maka rosaklah negara. Dalam konteks inilah rakyat perlu pastikan sentimen 3R tidak dimainkan, dijauhkan dan dihindarkan kerana ia sangat sensitif.
"Agama Islam melarang umatnya melakukan sebarang bentuk penghinaan atau mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan penganut agama dan bangsa lain.
Hadir sama, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.
Mohd Na'im turut menjelaskan, golongan agamawan di negara ini perlu menggerakkan segala usaha untuk menasihati orang ramai menggunakan platform yang sedia ada.
"Saya dah maklumkan mereka supaya menggerakkan usaha dan jangan duduk diam untuk ajak masyarakat bersatu padu serta memahami antara satu sama lain.
"Harapan saya agar masyarakat saling hormat-menghormati dan sentiasa pelihara kepelbagaian kaum di negara ini serta elakkan isu-isu kontroversi khususnya yang melibatkan kepentingan agama,” ujar beliau.
Dalam pada itu, menerusi kunjungan tersebut, Mohd Na'im tidak melepaskan peluang mengimamkan solat Zuhur dan menyampaikan sumbangan kurma serta buah-buahan kering kepada seluruh warga kerja Karangkraf.
Menurut beliau, sumbangan berkenaan adalah tanda penghargaan buat rakan media Sinar Harian yang sentiasa membuat liputan berita mengenai JPM dan dirinya secara peribadi.
"Kita perlu bekerjasama dalam memastikan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah benar.
"Jadi, saya mengucapkan jutaan terima kasih dan semoga kita diberikan kekuatan ukhuwah untuk bekerja demi agama dan ALLAH SWT,” ulasnya lagi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28